Al-A’raaf (7) : 54
Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa lalu Ia bersemayam di atas Arasy; Ia melindungi malam dengan siang yang mengiringinya dengan deras (silih berganti) dan (Ia pula yang menciptakan) matahari dan bulan serta bintang-bintang, (semuanya) tunduk kepada perintahNya. Ingatlah, kepada Allah jualah tertentu urusan menciptakan (sekalian makhluk) dan urusan pemerintahan. Maha Suci Allah yang mencipta dan mentadbirkan sekalian alam.
TAFSIR 1
Allah SWT berfirman bahawa Dialah yang menciptakan seluruh alam semesta ini, termasuk langit dan bumi serta apa yang ada di antara keduanya dalam enam hari. Hal seperti ini diberitakan di dalam al-Quran bukan hanya dalam satu ayat. Yang dimaksud dengan enam hari ialah Ahad, Isnin, Selasa, Rabu, Khamis, dan Jumaat. Pada hari Jumaat semua makhluk kelak dihimpunkan dan pada hari Jumaat pula Allah menciptakan Adam. Para ulama berselisih pendapat mengenai pengertian makna hari-hari tersebut. Dengan kata lain, adakah yang dimaksud dengan hari-hari tersebut sama dengan hari-hari kita sekarang, seperti yang kita fahami dengan mudah. Atau yang dimaksud dengan setiap hari adalah yang lamanya sama dengan seribu tahun. Adapun mengenai hari Sabtu, tidak berlaku padanya suatu penciptaan pun, mengingat hari Sabtu adalah hari yang ketujuh. Kerana itulah hari ini dinamakan hari Sabtu, yang ertinya putus. Mengenai firman Allah yang bermaksud, "... Lalu Dia bersemayam (berkuasa) di atas Arasy ...". Sehubungan dengan makna ayat ini para ulama mempunyai pelbagai pendapat yang cukup banyak, perinciannya bukan pada kitab ini. Tetapi sehubungan dengan hal ini, kami hanya meniti cara yang dipakai oleh mazhab ulama Salafus Salih, seperti Malik, Auza’i, As-Sauri, Al-Lais, Ibnu Sa’d, Asy-Syafi’i, Ahmad, dan Ishaq bin Rahawaih serta yang lainnya daripada kalangan para imam kaum muslim, baik yang terdahulu mahupun yang kemudian, iaitu menafsirkannya seperti apa adanya, tetapi tanpa memberikan gambaran, penyerupaan, juga tanpa mengaburkan maknanya. Pada garis besarnya, apa yang mudah ditangkap daripada teks ayat oleh orang yang suka menyerupakan itu merupakan hal yang tidak ada bagi Allah, mengingat tidak ada sesuatu pun daripada makhluk yang menyerupai Allah. Dia telah berfirman "Tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan Dia, dan Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat" (Asy-Syura: 42). Bahkan, pengertiannya adalah seperti apa yang dikatakan oleh para imam, antara lain Nu'aim bin Hammad Al-Khuzali. Dia mengatakan bahawa “Barang siapa yang menyerupakan Allah dengan makhluk-Nya, maka dia telah kafir. Barang siapa yang ingkar kepada apa yang disifatkan oleh Allah terhadap Zat-Nya sendiri, sesungguhnya dia telah kafir.” Semua yang digambarkan oleh Allah mengenai diri-Nya, juga apa yang digambarkan oleh Rasul-Nya, bukanlah termasuk ke dalam pengertian Tasybih (penyerupaan). Jelasnya, barang siapa yang meyakini Allah sesuai dengan apa yang disebutkan oleh ayat-ayat yang jelas dan hadis-hadis yang sahih, kemudian diertikan sesuai dengan keagungan Allah dan meniadakan daripada Zat Allah sifat-sifat yang kurang, bererti ia telah menempuh jalan hidayah.
Rujukan: 2000: 319-320 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang telah menciptakan langit dan bumi selama masa yang seukuran dengan enam hari di dunia. Kerana pada saat itu belum ada matahari. Seandainya Allah menghendaki, boleh sahaja Dia menciptakan itu semua dalam sekejap. Namun Allah tidak melakukan itu, kerana Dia ingin mengajarkan makhlukNya untuk bersabar. Lalu Dia bersemayam di atas Arasy. Secara bahasa Arasy bererti katil raja. Dan istiwa diertikan yang layak dengan kemuliaan Allah. Dia menutupkan malam kepada siang dan juga sebaliknya. Yang saling mengikuti satu sama lain. Dengan cepat. Al-Syamsa dibaca nasab kerana ‘Ataf kepada As-Samawat. Dan dibaca Rafa’ berfungsi sebagai (subjek yang diterangkan) mubtada, yang Khabarnya adalah kalimah setelahnya. Ditundukkan. Dengan kuasa-Nya. Ingatiah, hanya Allah yang menciptakan semuanya. Dan memerintah seluruhnya. Maha Agung. Allah, Raja semesta alam.
Rujukan: Tafsir Jalalain (Tafsir Jalalain)