Al-A’raaf (7) : 131

فَإِذَا جَاءَتْهُمُ الْحَسَنَةُ قَالُوا لَنَا هَذِهِ وَإِنْ تُصِبْهُمْ سَيِّئَةٌ يَطَّيَّرُوا بِمُوسَى وَمَنْ مَعَهُ أَلَا إِنَّمَا طَائِرُهُمْ عِنْدَ اللَّهِ وَلَكِنَّ أَكْثَرَهُمْ لَا يَعْلَمُونَ

Kemudian apabila datang kepada mereka kesenangan mereka berkata: "Ini ialah hasil usaha kami", dan jika mereka ditimpa kesusahan, mereka mengatakan nahas dan malang itu disebabkan oleh Nabi Musa dan pengikut-pengikutnya. (Tuhan berfirman): Ketahuilah, sesungguhnya nahas dan malang mereka itu hanya di tetapkan di sisi Allah, akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.


TAFSIR 1
Maksud firman Allah, (Kemudian apabila kebaikan (kemakmuran) datang kepada mereka) iaitu berupa kesuburan dan rezeki, (Mereka berkata, Ini adalah kerana (usaha) kami) yakni beginilah nasib kami yang seharusnya. (Dan jika mereka ditimpa kesusahan) iaitu berupa kekeringan dan kemarau, (Mereka lemparkan sebab kesialan itu kepada Musa dan pengikutnya) yakni ini semua kerana mereka dan apa-apa yang disampaikan oleh Musa. (KetahuiIah, sesungguhnya nasib mereka di tangan Allah) Ali bin Abi Thalhah dari Ibnu Abbas tentang kalimat ini berkata, "Musibah mereka datang dari Allah." (Namun kebanyakan mereka tidak mengetahui).
Rujukan: 1999: 397 (Tafsir Ibn Katsir)



TAFSIR 2
Setelah berbagai bencana yang menimpa Firaun dan kaumnya tidak membuat mereka ingat kepada Allah bahkan membuatkan mereka semakin menjadi-jadi kesombongannya, iaitu ketika Firaun dan kaumnya mengalami kemakmuran, buah-buahan dan ternak mereka tumbuh subur, rezeki mereka diberi kelapangan dan dijauhkan pula dari penyakit, mereka berkata, "Ini adalah kerana (usaha) kami." Maksudnya, "Kita memang berhak memperolehnya kerana kita memang melebihi bangsa-bangsa lain dan negeri kita memang negeri yang subur dan makmur." Namun, apabila mereka ditimpa paceklik, kemarau panjang, penyakit dan bencana yang lain, mereka menuduh bahawa Musalah yang membawa kemalangan itu. Mereka mengatakan, "Kita mendapat bencana seperti ini tak lain kerana sial yang dibawa Musa dan kaumnya." Di sini Allah menegaskan bahawa sesungguhnya apa pun yang menimpa mereka, baik keberuntungan dan kemalangan, sebenarnya telah ada keputusan dan takdirnya di Sisi Allah.
Rujukan: 2001: 376-377 (Tafsir al-Tabari)