Al-Baqarah (2) : 121 (Blok: 120-121)
Orang-orang yang Kami berikan Kitab kepada mereka, sedang mereka membacanya dengan sebenar-benar bacaan (tidak mengubah dan memutarkan maksudnya), mereka itulah orang-orang yang beriman kepadanya; dan sesiapa yang mengingkarinya maka mereka itulah orang-orang yang rugi.
TAFSIR
Ayat 120 memberi pengajaran Kepada kita bahawa orang Yahudi dan Nasrani (Kristian) itu akan terus sedaya upaya untuk memperdaya orang Islam supaya mengikut kehendak mereka. Pelbagai berusaha cara dan jalan yang dilakukan oleh mereka untuk merosakkan kepercayaan dan keperibadian orang Islam. Oleh kerana ramai yang tidak menyedari hakikat ini, maka bukan sedikit dalam kalangan umat Islam yang terikut-ikut adat dan cara hidup mereka semata-mata dengan alasan menurut peredaran zaman walhal ikutan itu bersalahan dengan ajaran lslam dan bertentangan dengan nilai akhlak dan budi pekerti yang mulia. Hakikat ini wajib disedari dan sesiapa jua yang terlanjur wajib kembali ke jalan yang benar.
Dalam ayat 121, firman Allah SWT ini menerangkan kitab suci itu hendaklah dibaca dengan mengetahui maknanya serta
memahami maksudnya dengan fahaman yang berdasarkan iman yang menggesa pembacanya mengambil pelajaran dan petunjuk, (mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya). Janganlah hendaknya umat islam membaca al-Quran hanya untuk menjadi halwa telinga kepada pendengarnya sahaja atau untuk mendapat faedah dunia semata-mata. Perbuatan sedemikian tidak akan memberi petunjuk kepada pembacanya bahkan boleh menimpakan akibat yang buruk kepadanya. Ini kerana dia telah termasuk dalam golongan yang menjadikan agama sebagai permainan dan hiburan. (Tafsir al-Manar, 2:447-448).