Yunus (10) : 25
(Itulah dia kesudahan kehidupan dunia), dan sebaliknya Allah menyeru manusia ke tempat kediaman yang selamat sentosa, dan Dia sentiasa memberi petunjuk hidayahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) ke jalan yang betul lurus (yang selamat itu).
TAFSIR 1
Setelah Allah swt menyebutkan keindahan dunia dan betapa cepat kefanaannya, Allah memujuk dan menyeru mereka dengan syurga, yang Dia namakan Darussalam 'Rumah Selamat', yakni selamat dari segala hal yang tidak menyenangkan, kekurangan dan bencana. Jabir bin Abdullah r.a meriwayatkan, "Suatu hari Rasulullah saw datang kepada kami seraya bersabda, 'Aku melihat di dalam mimpi seakan-akan Jibril berada di atas kepalaku dan Mikail ada di kakiku, salah satu dari mereka berkata kepada lainnya, 'Berilah perumpamaan baginya!' Temannya lalu berkata, 'Dengarkanlah dengan pendengaran telingamu dan fikirkanlah dengan fikiran hatimu! Sesungguhnya perumpamaan kamu dan umatmu seperti seorang raja yang membangun sebuah kota kemudian di dalam kota tersebut ia membangun rumah dan di dalam rumah itu ia sediakan hidangan kemudian dia mengutus delegasi untuk mengundang manusia untuk menikmati hidangan itu. Di antara mereka ada yang memenuhi undangan tersebut dan ada pula yang meninggalkan undangan itu. Allah swt adalah raja, kota adalah Islam, dan rumah adalah syurga, sedangkan kamu wahai Muhammad adalah delegasi. Barang siapa yang memenuhi undanganmu bererti dia telah masuk Islam dan barang siapa yang masuk Islam bererti ia masuk syurga dan barang siapa yang masuk syurga bererti ia bisa menikmati hidangan-hidangan yang ada di dalamnya. "' (HR Ibnu Jarir).
Rujukan: 1999: 485-486 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Ayat ini berisi seruan Allah kepada hamba-hamba-Nya agar mereka mahu mencari kebahagiaan di kehidupan akhirat yang kekal dan beramal untuk mendapatkannya serta meminta apa yang ada di Sisi Allah dengan taat kepada-Nya. Allah menyeru manusia ke Dar Al Salam iaitu syurga yang penuh dengan keselamatan. Allah swt memberi hidayah kepada siapa pun yang dikehendaki- Nya dan Dia menetapkan orang yang la kehendak untuk berada di jalan yang lurus, iaitu Islam sebagai sebab untuk sampai pada keredhaan-Nya. Berkenaan dengan ayat ini, Abu Darda r.a meriwayatkan bahawasanya Rasulullah saw bersabda, "Tidak ada satu hari pun ketika matahari terbit kecuali di kedua sisinya ada dua malaikat yang berseru. Semua makhluk Allah dapat mendengar seruan keduanya kecuali manusia dan jin. Wahai manusia! Marilah taat kepada Allah. Pemberian yang sedikit tetapi merasa cukup adalah lebih baik daripada banyak tetapi melalaikan." Adapun dalam riwayat Jabir bin Abdullah, perumpamaan Rasulullah dan umatnya adalah seperti seorang raja yang menduduki suatu daerah kemudian dibangun di dalamnya sebuah rumah dan dibuatlah hidangan di dalam rumah itu lalu diutuslah seseorang untuk mengajak semua orang memakannya. Di antara mereka ada yang memenuhi ajakan itu dan ada pula yang menolak. Siapa yang memenuhi ajakannya akan masuk Islam dan siapa yang masuk Islam akan masuk syurga dan siapa yang masuk syurga akan memakan hidangan di dalamnya.
Rujukan: 2001: 153-155 (Tafsir al-Tabari)