Al-Hijr (15) : 87
Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepadamu (wahai Muhammad) tujuh ayat yang diulang-ulang bacaannya dan seluruh Al-Quran yang amat besar kemuliaan dan faedahnya.
TAFSIR 1
Allah swt mengatakan kepada Nabi-Nya Muhammad saw, (Kami telah memberikan Al-Quran yang agung kepadamu. Maka jangan sekali-kali engkau tujukan pandanganmu kepada dunia, hiasan dunia dan seluruh kesenangan fana yang Kami berikan kepada penduduk dunia untuk menguji keimanan mereka. Janganlah engkau memiliki keinginan untuk mencicipi kenikmatan yang mereka rasakan dan janganlah engkau bersedih hati terhadap mereka yang mendustakanmu dan menolak agamamu). Ulama berbeza pendapat tentang maksud tujuh ayat yang dibaca berulang-ulang (Sab'ul al-matsany). Menurut Ibnu Mas'ud, Ibnu Umar, Ibnu Abbas, Mujahid, Said bin Jubair dan Ad-Dhahhak (Sab'ul al-matsany) adalah tujuh ayat yang panjang iaitu surah Al-Baqarah, Ali Imran, An-Nisa, Al-Ma'idah, Al-An'am, Al-Araf dan Yunus. Pendapat yang lain mengatakan bahawa maksud dari (Sab'ul al-matsany) adalah surah Al-Fatihah yang mana surah Al-Fatihah terdiri atas tujuh ayat. Pendapat itu diriwayatkan oleh Ali, Umar, Ibnu Mas'ud dan Ibnu Abbas. Ibnu Abbas mengatakan, "Surah Al-Fatihah yang terdiri atas tujuh ayat dan Allah memberikan keisitimewaan kepada kalian dengan surah tersebut." Demikian juga pendapat Ibrahim An-Nakh'i, Abdullah bin Ubaid bin Umair, Ibnu Abi Malikah, Syahr bin Hausyab, Hassan Al-Bashri dan Mujahid.
Rujukan: 1999: 570 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Para ahli tafsir berbeza pendapat mengenai maksud tujuh ayat. Sebahagian mengatakan bahawa yang dimaksud tujuh surah itu adalah tujuh surah panjang di awal Al-Quran. Disebut (Al-Matsany) kerana di dalamnya diulang-ulang dua kali segala perumpamaan, berita dan renungan. Inilah riwayat dari Ibn Mas'ud, Ibn Umar, Ibn Abbas dan Mujahid. Sebahagian ulama mengatakan bahawa yang dimaksud tujuh dalam ayat itu adalah tujuh ayat dalam surat Al-Fatihah. Ini berdasarkan riwayat dari Umar, Ali dan Jabir. Ada juga yang mengatakan bahawa yang dimaksud (Sab'ul al-matsany) adalah makna-makna Al-Quran. Ini berdasarkan riwayat dari Ziyad bin Abi Maryam. Sebahagian lagi berdasarkan riwayat Abu Malik, bahawa yang dimaksud (Sab'ul al-matsany) adalah surat Al-Fatihah. Dari berbagai pendapat di atas, pendapat yang paling kuat adalah pendapat yang mengatakan erti (Sab'ul al-matsany) adalah tujuh ayat surah Al-Fatihah berdasarkan hadis sahih dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah bersabda "UmmuI Quran adalah sab'ul matsany yang diturunkan kepadaku."
Rujukan: 2001: 107-110 (Tafsir al-Tabari)