An-Nahl (16) : 58
Dan apabila dikhabarkan kepada seseorang dari mereka bahawa ia beroleh anak perempuan, muramlah mukanya sepanjang hari (kerana menanggung dukacita), sedang ia menahan perasaan marahnya dalam hati.
TAFSIR 1
Kebencian orang-orang musyrik bila mendapat anak perempuan, Allah swt sebutkan dalam firman-Nya (Padahal apabila seseorang dari mereka diberi khabar dengan (kelahiran) anak perempuan, wajahnya menjadi hitam (merah padam)) yakni penuh awan kegelapan ibarat dirundung musibah memalukan. Adapun (Dan dia sangat marah) iaitu terdiam menahan kesedihan yang merajam dan bertubi-tubi lantaran mendengar berita tadi. Bahkan, pada ayat selanjutnya Allah seolah menjelaskan, Jika ia bertemu kawan-kawannya, maka (Dia bersembunyi dari orang banyak disebabkan khabar buruk yang disampaikan kepadanya) yakni malu bila bertemu dengan mereka lantaran berita buruk ini, Jika dia membiarkan anak perempuannya hidup, dia akan menanggung segala kehinaan sehingga anak perempuan itu takkan mewariskan harta orang tuanya dan tidak pula dipedulikan. Tentu mereka akan dan harus lebih memerhatikan anak lelakinya daripada anak perempuan itu. Atau bila tidak kuat menanggung kehinaan, dia harus menguburnya hidup-hidup. Begitulah kebiasaan bangsa Arab yang berkembang di masa Jahiliah. Perbuatan mereka ini Allah swt tegaskan juga dalam surah Az-Zukhruf melalui firman-Nya, (Dan apabila salah seorang di antara mereka diberi khabar gembira dengan apa (kelahiran anak perempuan) yang dijadikan sebagai perumpamaan bagi (Allah) Yang Maha Pengasih, jadilah wajahnya hitam pekat kerana menahan sedih (dan marah)) (QS Az-Zukhruf, 43: 17).
Rujukan: 1999: 581 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Pada ayat sebelumnya Allah menerangkan keadaan orang-orang yang menuduh Allah mempunyai anak-anak perempuan dan Allah sudah membantahnya. Orang-orang yang sama itu pula adalah orang-orang yang dimaksud dalam ayat ini iaitu mereka yang menganggap bahawa Allah mempunyai anak perempuan padahal sebaliknya, mereka sendiri pun ketika diberi khabar kelahiran anak perempuan, alangkah merasa hina dan malu sehingga digambarkan pada ayat ini wajah mereka menjadi kehitam-hitaman (Merah padam) saking benci dan tidak sukanya mereka. Jadi, seolah Allah mengatakan, Mereka merasa redha dengan menyandarkan anak-anak perempuan itu untuk-Ku namun mereka sendiri tidak merasa redha menyandarkan anak-anak perempuan itu untuk diri-diri mereka. Inilah yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas. Al-Qasim juga meriwayatkan, Al Husein menceritakan bahawa Hajjaj meriwayatkan dari Ibnu Juraij, ia berkata Ibnu Abbas menerangkan bahawa yang dimaksud dengan (Dan dia sangat marah) adalah sangat bersedih hati.
Rujukan: 2001: 254-256 (Tafsir al-Tabari)