An-Nahl (16) : 106

مَنْ كَفَرَ بِاللَّهِ مِنْ بَعْدِ إِيمَانِهِ إِلَّا مَنْ أُكْرِهَ وَقَلْبُهُ مُطْمَئِنٌّ بِالْإِيمَانِ وَلَكِنْ مَنْ شَرَحَ بِالْكُفْرِ صَدْرًا فَعَلَيْهِمْ غَضَبٌ مِنَ اللَّهِ وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ

Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah ia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab dari Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang hatinya tenang tenteram dengan iman; akan tetapi sesiapa yang terbuka hatinya menerima kufur maka atas mereka tertimpa kemurkaan dari Allah, dan mereka pula beroleh azab yang besar.


TAFSIR 1
Bagi mereka yang telah mendapatkan cahaya kerana telah beriman kemudian memilih Jalan sesat padahal ia mengetahui kebenaran ajaran Allah swt, mereka yang menyesakkan dadanya dengan menyekutukan Allah setelah merasakan ketenangan berada dalam naungan iman maka murka Allah swt lebih tepat baginya kerana ia telah mengetahui hakikat iman namun kemudian ia berpaling. Untuk itu, Allah swt menyediakan azab yang amat menyakitkan di akhirat kerana mereka lebih mencintai kehidupan dunia dan memilihnya daripada kehidupan akhirat dengan meninggalkan iman yang justeru bertugas sebagai juru penyelamatnya di akhirat. Mereka berpindah agama dan kepercayaan dengan tujuan duniawi sehingga Allah swt tidak lagi memberi hidayah atau menetapkan kaki mereka pada jalan dan agama hak. Hati mereka dikunci dari kemampuan menangkap kejernihan bukti-bukti Allah swt. Al-Aufi meriwayatkan dari Ibnu Abbas r a. bahawa ayat ini diturunkan kerana Ammar bin Yasir diazab dan diancam akan dibunuh oleh orang-orang musyrik (sebagaimana yang telah mereka lakukan terhadap kedua orang tuanya di depan mata kepalanya sendiri) kecuali bila ia mahu keluar dari agama yang dibawa Muhammad saw. Maka Ammar pun mengikuti kemahuan mereka (untuk murtad) dengan amat terpaksa. Setelah dilepaskan, ia mendatangi Nabi saw dan meminta uzur telah memenuhi permintaan mereka dengan terpaksa. Allah swt pun menurunkan ayat ini.
Rujukan: 1999: 591 (Tafsir Ibn Katsir)



TAFSIR 2
Ayat ini berkenaan dengan Ammar bin Yasir dan sekelompok umat yang masuk islam lainnya. Mereka pun diseksa oleh kaum musyrikin. Sebahagian teguh tidak menuruti kata-kata kekufuran tetapi sebahagian lagi mengikutinya kerana tidak tahan dengan seksaan. Dari Ibnu Abbas ayat (Barang siapa kafir kepada Allah setelah dia beriman (dia mendapat kemurkaan Allah) kecuali orang yang dipaksa kafir padahal hatinya tetap tenang dalam beriman (dia tidak berdosa), tetapi orang yang melapangkan dadanya untuk kekafiran, maka kemurkaan Allah menimpanya dan mereka akan mendapat azab yang besar) berkenaan dengan tindakan orang-orang musyrik yang menangkap dan menyeksa Ammar bin Yasir agar mengucapkan kata-kata kufur terhadap Muhammad. Lalu mereka pun melepaskannya. Ammar pun menceritakan apa yang dialaminya di hadapan nabi. Maka, turunlah ayat ini dari Allah sebagai bentuk keringanan kepada Ammar.
Rujukan: 2001: 374 (Tafsir al-Tabari)