Al-Israa’ (17) : 98 (Blok: 98-99)
Balasan mereka yang sedemikian, ialah kerana mereka kufur ingkarkan ayat-ayat Kami, dan mereka berkata: "Adakah sesudah Kami menjadi tulang dan benda yang reput, adakah Kami akan dibangkitkan semula dalam kejadian yang baharu?"
TAFSIR
Allah swt menegaskan kepada Nabi Muhammad saw tentang orang-orang musyrik yang tidak memperhatikan dengan mata hati mereka sehingga berkata, (Apabila kami telah menjadi tulang belulang dan benda-benda yang hancur, apakah kami benar-benar akan dibangkitkan kembali sebagai makhluk baru?) Ketahuilah oleh mereka, (Bahawasanya Allah yang menciptakan langit dan Bumi). Dia menciptakan tanpa ada model terlebih dahulu. Dia menegakkannya dengan kekuasaan-Nya iaitu dengan kekuasaan yang sama, menciptakan yang serupa dengan mereka dari segi bentuk dan rupa dari sejumlah makhluk lain setelah ketiadaan mereka sebelum itu. Bagi Zat yang berkuasa atas hal itu, tidak terhalang bagi-Nya untuk mengembalikan mereka menjadi makhluk yang baru setelah mereka menjadi tulang belulang dan benda-benda yang hancur lebur. Allah swt menegaskan bahawa Dia telah menentukan bagi orang-orang musyrik itu ajal kebinasaan mereka dan waktu untuk menyeksa mereka. ltu adalah sesuatu, (Yang tidak diragukan lagi). Firman Allah (Maka orang zalim itu tidak menolaknya kecuali dengan kekafiran) tetapi orang-orang kafir itu mengingkari kebenaran sebagaimana yang dijanjikan Allah swt dan mendustakan hari itu.
Rujukan: 2001: 97-98 (Tafsir al-Tabari)