Taahaa (20) : 43

اذْهَبَا إِلَى فِرْعَوْنَ إِنَّهُ طَغَى

Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya.


TAFSIR 1
Maksud firman Allah (Pergilah kamu berdua kepada Firaun kerana dia benar-benar telah melampaui batas) iaitu merupakan perintah dari Allah swt kepada Musa dan Harun untuk menghadap Firaun kerana dia telah melampaui batas dan amat derhaka kepada Allah swt. Allah memerintahkan Musa untuk kembali ke Mesir, negeri yang pernah tinggalinya, negeri yang dia melarikan diri darinya (setelah tidak sengaja membunuh seorang warga Mesir yang bertengkar dengan salah seorang bani Israil). Serulah Firaun sang raja Mesir untuk menyembah Allah semata kerana tiada sekutu bagi-Nya. Perintahkan kepadanya untuk memperlakukan bani Israil dengan perlakuan yang baik dan jangan lagi menyeksa serta menindas mereka. Sesungguhnya Firaun telah berlaku sewenang-wenang lagi melampaui batas, lebih memilih kehidupan dunia serta melupakan Tuhannya Yang Maha Tinggi. Kemudian Musa memohon kepada Tuhannya dengan doa yang cukup terkenal agar dilapangkan dadanya dalam menunaikan tugas risalah yang dibebankan kepadanya, tugas yang sangat berat dan besar, Musa berdoa, Ya Tuhan! Lapangkanlah dadaku, mudahkanlah urusanku, uraikanlah ikatan lidahku agar mereka memahami ucapanku.
Rujukan: 1999: 674 (Tafsir Ibn Katsir)



TAFSIR 2
Dalam rangkaian ayat ini Allah swt telah mengurniakan berbagai nikmat dan berbagai kurnia kepada Musa a.s. Salah satunya dengan mengangkatnya sebagai rasul untuk menjadi penyambung Iidah dari Allah swt dan tugas ini dibebankan pula kepada saudaranya Harun a.s. Keduanya diperintah untuk menyampaikan hujjah dan dalil ketuhanan Allah swt kepada Firaun yang telah berlaku melampaui batas. Seolah Allah berfirman, "Kerana itu sampaikanlah risaIah-Ku dan jangan merasa lemah untuk memberinya peringatan-Ku tentang perintah dan larangan kerana dengan kalian berdua mengingat-Ku akan menguatkan tekad dan meneguhkan hati kalian."
Rujukan: 2001: 72-74 (Tafsir al-Tabari)