An-Nuur (24) : 11
Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di akhirat).
TAFSIR 1
Ayat ini turun berkenaan Aisyah r.a. Ummul Mukminin ketika orang-orang menyebarkan berita bohong dari kalangan kaum munafik dan menuduhnya dengan fitnah yang dibenci Allah dan rasul-Nya. Allah swt pun menurunkan wahyu yang membebaskan Aisyah r.a dari tuduhan tersebut untuk menjaga kehormatan Rasulullah saw. Allah swt berfirman (Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah dari golongan kamu (juga)) iaitu golongan dari kamu, tidak satu orang ataupun dua orang tetapi golongan. Orang yang lebih dulu berhak mendapatkan laknat adalah Abdullah bin Ubay bin Salul, pemimpin kaum munafik. Dialah dalang yang mengumpulkan berita bohong tersebut sehingga berita itu sampai ke telinga kaum muslimin hingga akhirnya pembicaraan tersebut meluas. Perkara tersebut terjadi hampir satu bulan sehingga wahyu turun. Jalan kisahnya banyak ditemukan dalam hadis-hadis sahih. Firman Allah (Janganlah kamu mengira berita itu buruk bagi kamu) ditujukan kepada keluarga Abu Bakar. Firman-Nya (Bahkan itu baik bagi kamu) yakni di dunia dan akhirat, perkataan yang benar di dunia dan tingginya kedudukan di akhirat serta tampaknya kemuliaan yang dianugerahkan kepada Aisyah Ummul Mukmimin r.a. Maksud firman Allah (Setiap orang dari mereka akan mendapat balasan dari dosa yang diperbuatnya) adalah setiap orang yang menyebarkan masalah ini dan menuduh Ummul Mukminin Aisyah r.a melakukan perbuatan dosa, masing-masing orang tersebut mendapatkan bahagian yang besar dari azab Allah.
Rujukan: 1999: 741-743 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Allah swt menegaskan, sesungguhnya mereka yang membawa berita bohong dan tuduhan adalah dari golongan kalian, wahai manusia, Janganlah kalian mengira berita bohong itu buruk bagi kamu di Sisi Allah dan pandangan manusia, itu justeru baik bagi kalian di hadapan-Nya dan juga orang yang beriman. Allah menjadikan kafarat bagi orang yang tertuduh dan akan membebaskan tuduhan itu. Firman-Nya (Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah dari golongan kamu juga) iaitu Hassan bin Tsabit, Misthah bin Utsatsah dan Hamnah binti Jahsyi. Firman-Nya (Setiap orang dari mereka akan mendapat balasan dari dosa yang diperbuatnya) bagi setiap orang yang menyebarkan berita bohong akan mendapat balasan atas apa yang mereka lakukan terhadap hamba Allah yang paling mulia. (Dan barang siapa di antara mereka yang mengambil bahagian terbesar (dari dosa yang diperbuatnya)) iaitu mereka yang mendapatkan paling banyak dosa adalah mereka yang pertama kali menceburkan diri di dalam api neraka. Para ahli takwil berbeza pendapat seputar firman-Nya (Dan barang siapa di antara mereka yang mengambil bahagian terbesar (dari dosa yang diperbuatnya)). Sebahagian ahli takwil mengatakan, orang itu Hassan bin Tsabit. Sebahagian lain menyebut Abdullah bin Ubay bin Salul. Pendapat yang benar adalah Abdullah bin Ubay.
Rujukan: 2001: 189-211 (Tafsir al-Tabari)