An-Nuur (24) : 29

لَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَنْ تَدْخُلُوا بُيُوتًا غَيْرَ مَسْكُونَةٍ فِيهَا مَتَاعٌ لَكُمْ وَاللَّهُ يَعْلَمُ مَا تُبْدُونَ وَمَا تَكْتُمُونَ

Tidaklah menjadi salah kamu memasuki (dengan tidak meminta izin) mana-mana rumah yang tidak didiami orang, yang ada keperluan kamu padanya; dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu zahirkan dan apa yang kamu sembunyikan.


TAFSIR 1
Firman Allah (Tidak ada dosa atasmu memasuki rumah yang tidak dihuni) Ayat yang mulia ini mengkhususkan ayat sebelumnya iaitu seseorang diperbolehkan memasuki rumah yang tidak ada penghuninya tanpa harus meminta izin jika dia memiliki kepentingan di dalamnya seperti rumah yang disiapkan untuk tamu jika pertama kali dia sudah mengizinkannya, itu sudah cukup. Ibnu Juraij mengatakan bahawa Ibnu Abbas berkata, ayat (Janganlah kamu memasuki rumah yang bukan rumahmu) dinasakh dan dikecualikan oleh firman Allah (Tidak ada dosa atasmu memasuki rumah yang tidak dihuni, yang di dalamnya ada kepentingan kamu) demikian seperti yang diriwayatkan dari Ikrimah dan Hassan Al Bashri.
Rujukan: 1999: 747-748 (Tafsir Ibn Katsir)



TAFSIR 2
Allah swt menegaskan, "Wahai manusia, kalian tidak berdosa jika kalian masuk tanpa izin kepada rumah yang tidak dihuni." Para ulama berbeza pendapat mengenai rumah yang dimaksudkan ayat ini. Sebahagian berpendapat, bahawa rumah tersebut adalah seperti hotel dan rumah yang dibangun bukan untuk didiami tapi untuk orang yang singgah sementara. Sebahagian lain berpendapat, rumah tersebut adalah rumah-rumah di kota Mekah. Sebahagian lain menyatakan, rumah tersebut adalah rumah-rumah yang sudah roboh. Kata (Keperluan) dalam ayat ini maksudnya keperluan kalian untuk membuang hajat, seperti buang air besar ataupun kencing. Ada juga yang berpendapat, rumah tersebut adalah rumah-rumah para pedagang yang di dalamnya terdapat keperluan manusia. Adapun pendapat yang tepat adalah firman Allah ini bersifat umum (Tidak ada dosa atasmu memasuki rumah yang tidak dihuni, yang di dalamnya ada kepentingan kamu) iaitu untuk setiap rumah yang tidak untuk dihuni namun kita ada keperluan ke dalamnya. Hal ini kerana memohon izin hanya diucapkan kepada orang yang kita mintai izin iaitu dia yang memiliki tempat tinggal. Sedangkan jika tidak ada yang memiliki tempat tersebut, kita diperbolehkan untuk memasukinya tanpa harus meminta izin terlebih dahulu.
Rujukan: 2001: 248-254 (Tafsir al-Tabari)