An-Naml (27) : 14

وَجَحَدُوا بِهَا وَاسْتَيْقَنَتْهَا أَنْفُسُهُمْ ظُلْمًا وَعُلُوًّا فَانْظُرْ كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُفْسِدِينَ

Dan mereka mengingkarinya secara zalim dan sombong angkuh sedang hati mereka meyakini kebenarannya. Oleh itu, lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang melakukan kerosakan.


TAFSIR 1
Maksud ayat (Dan mereka mengingkarinya) iaitu di permukaan persoalan-persoalan mereka. Ayat (Meyakini (kebenaran) nya) adalah mereka sedar dalam diri mereka bahawa bukti-bukti itu berasal dari Allah swt tetapi mereka menentang, menyimpang dan tidak mahu menerima. Maksud ayat (Kerana kezaliman dan kesombongannya) iaitu sebagai bentuk kezaliman dari diri mereka dan sebuah tindakan tidak terpuji. Sedangkan kata uluwwan bererti ketakaburan untuk mengikuti kebenaran. Oleh kerana itu, Allah swt berfirman, (Maka perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang berbuat kerosakan). Ertinya lihatlah, wahai Muhammad, bagaimana akhir dari nasib mereka ketika Allah swt memusnahkan mereka dan menenggelamkan mereka pada suatu pagi. Maksud ayat ini bererti, "Ingatlah, wahai orang-orang yang mendustakan Muhammad, orang-orang yang menentang apa yang datang dari Tuhannya, jangan sampai apa yang menimpa mereka terjadi kepada kalian. Sungguh, Muhammad saw lebih mulia dan lebih agung daripada Musa a.s. Mukjizat Muhammad lebih terang dan lebih kuat daripada mukjizat Musa. Allah swt memberikan bukti yang terkait langsung dengan keberadaan dirinya dan orang-orang sekitarnya serta kebenaran-kebenaran dan khabar gembira yang pernah disampaikan kepada para nabi terdahulu. Allah swt juga telah mengadakan perjanjian dengannya. Semoga selawat dan keselamatan terbaik sentiasa terlimpah kepadanya."
Rujukan: 1999: 793 (Tafsir Ibn Katsir)



TAFSIR 2
Setelah menggambarkan Al-Quran bahawa ia adalah petunjuk dan khabar gembira bagi orang-orang yang beriman dan bahawa orang yang berpaling darinya benar-benar menerima kerugian yang nyata, selanjutnya pada rangkaian ayat-ayat ini (6-14) Allah menerangkan keadaan Rasulullah saw sebagai pihak yang menerima penurunan Al-Quran itu. Kemudian Rasulullah saw diperintah untuk membaca sebahagian apa yang diterimanya dari Allah dengan maksud menetapkan dan membenarkan apa yang telah disajikan sebelumnya. Di antara yang diperintahkan untuk dibaca adalah kisah Nabi Musa a.s. Pada ayat ini dijelaskan pengingkaran Firaun dan kaumnya terhadap bukti-bukti kebenaran risalah Musa a.s. Demikian itu kerana mereka sombong untuk beriman kepada mukjizat Musa sedangkan mereka mengetahui bahawa ia benar-benar berasal dari Sisi Allah. Pada ayat ini juga terdapat peringatan bagi orang-orang yang mendustakan Muhammad saw dan mengingkari apa yang beliau bawa dari Sisi Tuhannya bahawa mereka akan ditimpa azab seperti dialami oleh Firaun dan kaumnya.
Rujukan: 2001: 22-24 (Tafsir al-Tabari)