Saba’ (34) : 51

وَلَوْ تَرَى إِذْ فَزِعُوا فَلَا فَوْتَ وَأُخِذُوا مِنْ مَكَانٍ قَرِيبٍ

Dan (sungguh ngeri) jika engkau melihat (keadaan orang-orang yang bersalah itu) ketika mereka gelisah takut (menyaksikan azabnya) serta mereka tidak mendapat jalan mengelaknya, dan mereka pun diambil dari tempat mereka berada (untuk dibawa ke tempat azab).


TAFSIR 1
Allah swt menyatakan "Sekiranya engkau melihat wahai Muhammad, bagaimana terperanjatnya para pendusta itu pada hari kiamat lalu mereka tidak dapat melepaskan diri iaitu tidak ada tempat bagi mereka untuk melarikan diri, tidak ada pertolongan bagi mereka dan tidak pula ada tempat mereka untuk berlindung. (Dan mereka ditangkap dari tempat yang dekat (untuk di bawa ke neraka)) iaitu belum sempat berfikir untuk melarikan diri, mereka sudah terlebih dahulu ditangkap." Hassan Basri berkata "Iaitu ketika mereka bangkit dari kubur."
Rujukan: 1999: 891 (Tafsir Ibn Katsir)



TAFSIR 2
Maksud ayat (Dan (alangkah mengerikan) sekiranya engkau melihat mereka (orang-orang kafir) ketika terperanjat ketakutan (pada hari kiamat)) kalaulah engkau perhatikan wahai Muhammad ketika mereka merasa takut. Para ulama berbeza pendapat mengenai maksud dari ayat ini. Sebahagian di antara mereka berpendapat bahawa yang merasa takut adalah orang-orang musyrik yang Allah sifatkan dalam ayat ini. Iaitu mereka merasa takut ketika turunnya seksa dari Allah di dunia. Diriwayatkan oleh Ibnu Abbas bahawa yang dimaksud dengan firman-Nya (Mereka (orang-orang kafir) terperanjat ketakutan) iaitu azab atau seksa yang diberikan di dunia (Qurthubi, 314). Ibnu Zaid berpendapat bahawa yang dimaksud dalam ayat ini adalah orang-orang yang mati dari kalangan musyrikin pada Perang Badar. Ayat ini diturunkan mengenai mereka. la berkata "Mereka adalah orang-orang yang mengganti nikmat yang Allah berikan dengan kekufuran dan menghalalkan bagi kaum mereka untuk masuk ke dalam Jahanam, mereka adalah ahli Badar dari kaum musyrikin (As-Suyuthi, 240). Sebahagian yang Iain berpendapat bahawa maksudnya adalah tentara yang dibinasakan dengan pasir Padang Sahara. Diriwayatkan dari Said bahawa yang dimaksud dengan ayat adalah tentara yang dibinasakan dengan pasir Padang Sahara dan tersisa seorang lelaki di antara mereka, dialah yang memberitahukan kepada orang-orang apa yang menimpa teman-temannya (Ath-Thaus, 374). Pendapat yang paling kuat adalah pendapat yang mengatakan bahawa ayat ini bercerita mengenai ancaman Allah bagi orang-orang musyrik yang mendustakan Rasulullah saw kerana ayat sebelumnya menerangkan hal tersebut. Maka maksud ayat ini, kalaulah engkau perhatikan wahai Muhammad, orang-orang musyrik dari kaummu mereka merasa takut ketika telah jelas bahawa mereka akan mendapatkan azab Allah. Maka pada saat itu tidak ada hal yang dapat menyelamatkan mereka dari azab Kami. Diriwayatkan dari Ibnu Abbas bahawa maksud ayat (Lalu mereka tidak dapat melepaskan diri) ini adalah tidak ada keselamatan (HR Ibnu Abi Hatim, 38). Diriwayatkan dari Ad-Dhahhak bahawa maksud ayat ini adalah tidak dapat lari. Maksud ayat (Dan mereka ditangkap dari tempat yang dekat (untuk dibawa ke neraka)) Allah akan mengazab mereka dengan seksa-Nya dari tempat yang dekat, hal ini kerana kelakukan mereka sendiri sebelumnya iaitu mereka tidak menyembah Allah.
Rujukan: 2003: 309-314 (Tafsir al-Tabari)