Faatir (35) : 16 (Blok: 15-17)

إِنْ يَشَأْ يُذْهِبْكُمْ وَيَأْتِ بِخَلْقٍ جَدِيدٍ

Jika Ia mahu, nescaya Ia membinasakan kamu dan mendatangkan makhluk yang baharu.


TAFSIR
Allah memberitahukan bahawa Dia Maha Kaya dari yang lain-Nya dan seluruh makhluk memerlukan-Nya serta tunduk kepada-Nya. Allah berfirman (Wahai manusia! Kamulah yang memerlukan Allah) yakni mereka memerlukan Allah dalam setiap gerak-geriknya dan Allah tidak memerlukan mereka sama sekali. Oleh kerana itu Allah berfirman (Dan Allah Dialah Yang Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) Maha Terpuji) yakni hanya Dialah yang kaya, Tuhan yang Esa, tiada sekutu bagi-Nya dan Dialah Yang Maha Terpuji dalam setiap tindakan-Nya, firman-Nya, takdir-Nya dan syariat-Nya. Maksud firman Allah (Jika Dia menghendaki nescaya Dia membinasakan kamu dan mendatangkan makhluk yang baru (untuk menggantikan kamu)) adalah jika Dia menghendaki nescaya Dia melenyapkan kamu wahai manusia! Dan mendatangkan kaum selain kamu. Dan hal ini tidaklah sukar dan sulit bagi-Nya. Oleh kerana itu Allah berfirman (Dan yang demikian itu tidak sulit bagi Allah)
Rujukan: 1999: 895 (Tafsir Ibn Katsir)