Ali-Imran (3) : 79
Tidaklah patut bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Kitab ugama dan hikmat serta pangkat Nabi, kemudian ia tergamak mengatakan kepada orang ramai: "Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang menyembahku dengan meninggalkan perbuatan menyembah Allah". Tetapi (sepatutnya ia berkata): "Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyin (yang hanya menyembah Allah Taala - dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu, dan kerana kamu selalu mempelajarinya.
TAFSIR 1
Ayat ini menjelaskan garis besar syariat yang dibawa para nabi dan rasul. Dijelaskan, sekalipun hukum yang terkandung dalam kitab-kitab para nabi berbeza, semua itu memiliki satu titik, iaitu tauhid. Tauhid ini mengandung makna bahawa Allah swt adalah Zat yang Esa dan satu-satunya Zat yang harus disembah oleh seluruh umat manusia. Muhammad bin Ishaq meriwayatkan, Ibnu Abbas r.a. berkata, "Suatu hari sekelompok Yahudi dan Nasrani berkumpul dan mendatangi Rasulullah saw. Mereka berkata, 'Wahai Muhammad, apakah engkau ingin kami semua menyembahmu?' Rasulullah saw menjawab, 'Semoga Allah melindungiku. Jangan sampai kita menyembah tuhan selain Dia atau memerintahkan orang lain untuk menyembah selain Dia. Aku tidak pernah diperintahkan untuk melakukan hal itu. Tidak pula aku diutus untuk hal itu. ' Kemudian turunlah ayat ini." Dalam syariat samawi selalu disebutkan, hanya Allahlah tuhan yang patut disembah. Tauhid inilah yang selalu diserukan para nabi dan rasul. Tauhid ini menjadi fondasi awal sebelum umat manusia diperintahkan untuk menjalankan syariat-syariat yang Iain. Mampu mengemban dan menyampaikan amanah adalah salah satu sifat para rasul. Dalam kapasitas mereka sebagai rasul, mereka akan selalu menyampaikan dakwah kepada umat mereka persis sesuai perintah Allah swt. Mereka tidak mungkin mengingkari instruksi dari Allah swt.
Rujukan: 1999: 180 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Inti ayat ini adalah tidak wajar bagi seorang manusia yang Allah berikan kepadanya Al-Kitab, hikmah dan kenabian, lalu dia berkata kepada manusia agar menyembahnya, bukan menyembah Allah. Padahal, Allah mendatangkan kepadanya Kitab, hikmah dan kenabian. Akan tetapi, jika Allah telah mendatangkan kepadanya, hal-hal tersebut. Dia akan menyeru mereka agar mengetahui Allah, menunjukkan pada syariat-syariat agamanya. Agar mereka menjadi faham dalam mengenal perintah dan larangan Allah dan menjadi imam dalam ketaatan dan dalam peribadatan sehingga mereka menjadi guru bagi manusia dalam memahamkan Kitab. Diriwayatkan dari Ibnu Abbas ia berkata, Abu Rafi Al-Qurazdy berkata ketika para rahib Yahudi dan Nasrani dari Najran berkumpul dengan Nabi dan Nabi mengajak mereka agar masuk Islam. "Wahai Muhammad, apakah kamu menginginkan agar kami menyembahmu, sebagaimana orang Nasrani yang menyembah Isa anak Maryam?" Dan salah seorang Nasrani dari Najran juga berkata, "Apakah benar kerana itu wahai Muhammad, kamu mengajak kami?" Maka Rasulullah berkata, "Aku berlindung kepada Allah, jika kami menyembah selain Allah dan jika kami memerintah agar menyembah selain-Nya! Bukan kerana itu aku diutus dan bukan kerana itu aku diperintah!" Maka turunlah ayat ini yang menyanggah perkataan mereka. (QS Ali Imran, 3: 80).
Rujukan: 2001: 523-533 (Tafsir al-Tabari)