Ghafir (40) : 4
Tidak ada yang membantah mengenai ayat-ayat Allah melainkan orang-orang yang kafir. Oleh itu janganlah engkau (wahai Muhammad) diperdayakan oleh kebebasan mereka bergerak dengan berulang alik dari sebuah bandar ke bandar yang lain.
TAFSIR 1
Dengan ayat ini, Allah menyatakan bahawa setelah semua argumentasi dan bukti-bukti yang diberikan, bantahan dan penolakan selanjutnya hanya akan datang dari orang kafir. Ayat (Kecuali orang-orang yang kafir) adalah mereka yang menentang ayat-ayat, hujjah dan argumentasi yang diberikan Allah. Firman Allah (Kerana itu janganlah engkau (Muhammad) tertipu oleh keberhasilan usaha mereka di seluruh negeri) adalah di seluruh negeri, pada bahagian kekayaan, kemewahan dan kegemerlapannya. Sebagaimana di firmankan Allah swt (Jangan sekali-kali kamu terperdaya oleh kegiatan orang-orang kafir (yang bergerak) di seluruh negeri. ltu hanyalah kesenangan sementara kemudian tempat kembali mereka ialah Neraka Jahanam. (Jahanam) itu seburuk-buruk tempat tinggal) (QS Ali Imran, 3: 196-197) Allah swt juga menegaskan (Kami biarkan mereka bersenang-senang sebentar kemudian Kami paksa mereka (masuk) ke dalam azab yang keras) (QS Luqman, 31: 24) Kemudian Allah swt menghibur Rasulullah saw kerana didustakan oleh kaum beliau. Dengan khabar bahawa nabi-nabi sebelum Rasulullah saw pun mengalami hal yang sama, didustakan oleh kaum mereka sendiri sedangkan orang-orang yang menjadi pengikutnya yang beriman hanya sedikit.
Rujukan: 1999: 952 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Setelah Allah menerangkan tujuan penyebutan ihwal orang yang memperdebatkan Al-Quran dengan tujuan membatalkan dan menyembunyikan cahayanya, pada ayat ini Allah menjelaskan bahawa Dia membimbing Rasul-Nya agar jangan sampai terperdaya dengan ihwal orang yang memperdebatkan itu dan jangan terperdaya dengan dibiarkannya mereka dalam keadaan sihat dan sejahtera dengan harta benda mereka. Mereka bertindak bebas dalam negeri untuk melakukan perdagangan kerana luasnya rezeki dan dapat menikmati perhiasan dunia. Kerana sesungguhnya Allah akan bertindak terhadap mereka sebagai Tuhan Yang Maha Perkasa dan Maha Kuasa, sebagaimana pernah dilakukan terhadap umat-umat terdahulu seperti mereka iaitu orang-orang yang mendustakan rasul-rasul mereka sehingga mereka ditimpa kebinasaan di dunia. Mereka akan ditimpa pula kehancuran di akhirat dalam Nereka Jahanam sebagai tempat tinggal yang buruk.
Rujukan: 2001: 279-280 (Tafsir al-Tabari)