Fussilat (41) : 5 (Blok: 1-5)
Dan mereka berkata: "Hati kami dalam tutupan yang berlapis-lapis (menghalang kami) daripada memahami apa yang engkau serukan kami kepadanya, dan pada telinga kami penyumbat (menjadikan kami tidak dapat mendengarnya), serta di antara kami denganmu ada sekatan (yang memisahkan fahaman kita); oleh itu, bekerjalah engkau (untuk ugamamu), sesungguhnya kami juga tetap bekerja (untuk mempertahankan kepercayaan kami)! "
TAFSIR 1
Allah swt berfirman (Ha Mim (Al-Quran ini)) diturunkan dari Tuhan Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang) maksudnya Al-Quran diturunkan dari Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Firman Allah swt (Kitab yang ayat-ayatnya dijelaskan) yaitu kitab yang diterangkan makna-maknanya dan ditegaskan hukum-hukumnya. (Bacaan dalam bahasa Arab) maksudnya berupa bacaan dalam bahasa Arab yang jelas dan terang, makna-maknanya terperinci, lafaz-lafaznya amat jelas dan tidak ada kemusykilan di dalamnya. Maksudnya Al-Quran itu merupakan mukjizat, baik dari segi lafaz mahupun maknanya. Maksud firman Allah (Untuk kaum yang mengetahui) iaitu bahawa yang mengetahui kejelasan dan kenyataan ini hanyalah para ulama yang mendalam pengetahuannya. Maksud firman Allah (Yang membawa berita gembira dan peringatan) iaitu sesekali Al-Quran memberi khabar gembira untuk orang-orang yang beriman dan sesekali memberikan peringatan kepada yang kafir. Ayat (Tetapi kebanyakan mereka berpaling (darinya) serta tidak mendengarkan) iaitu kebanyakan orang Quraisy tidak memahami sedikit pun dari Al-Quran itu, padahal ia begitu terang dan jelas. Firman Allah (Dan mereka berkata "Hati kami sudah tertutup) iaitu dalam keadaan terselubung dan terkunci (Dari apa yang engkau seru kami kepada-Nya dan telinga kami sudah tersumbat) iaitu tuli sehingga tidak bisa mendengar apa yang engkau sampaikan kepada kami. (Kerana itu lakukanlah (sesuai kehendakmu) sesungguhnya kami akan melakukan (sesuai kehendak kami)) ertinya buatlah olehmu apa yang engkau inginkan menurut caramu dan biarkan kami membuat apa yang kami inginkan dengan cara kami pula. Kami tidak akan mengikuti engkau.
Rujukan: 1999: 965-967 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Dalam rangkaian ayat ini, Allah menyatakan bahawa Al-Quran diturunkan dari Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang kepada Nabi Muhammad saw. Dengan demikian, Al-Quran merupakan rahmat dan kurnia dari Allah atas manusia agar mudah membaca dan memahaminya.
Rujukan: 2001: 274-283 (Tafsir al-Tabari)