Az-Zukhruf (43) : 31
Dan (kerana mereka mencemuh Nabi Muhammad) mereka berkata: "(Kalaulah Al-Quran ini menjadi bukti kenabian seseorang, maka) sepatutnya Al-Quran ini diturunkan kepada seorang besar (yang kaya dan berpengaruh) dari salah sebuah dua bandar yang (terkenal) itu?"
TAFSIR 1
Lalu Allah swt berfirman (Dan mereka (juga) berkata) iaitu seperti orang-orang yang membangkang terhadap apa yang diturunkan Allah swt (Mengapa Al-Quran ini tidak diturunkan kepada orang besar (kaya dan berpengaruh) dari salah satu dua negeri ini?) maksudnya mengapa Al-Quran ini tidak diturunkan kepada seorang yang agung lagi mulia di mata mereka yang berasal dari dua negeri ini? Yang mereka maksudkan dengan dua negeri itu adalah Mekah dan Thaif. Demikian menurut Ibnu Abbas r.a, Ikrimah, Muhammad bin Kaab Al-Qurazhi, Qatadah, As-Saddi dan Ibnu Zaid. Banyak di antara ahli tafsir tersebut ngatakan bahawa yang dimaksud dengan orang mulia oleh orang-orang Mekah tersebut adalah Al-Walid bin Al-Mughirah dan Urwah bin Mas'ud Ats-Tsaqafi. Namun yang jelas, yang mereka maksudkan adalah seorang pembesar dari salah satu di antara dua negeri tersebut.
Rujukan: 1999: 987 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Allah swt menerangkan pada ayat-ayat ini mengenai kaum musyrik Quraisy yang mempertanyakan tentang turunnya Al-Quran kepada Nabi Muhammad saw. Ketika Al-Quran diturunkan kepada mereka, orang musyrik Quraisy, mereka berkata "Ini adalah sihir dan jika Al-Quran ini adalah sebuah kebenaran mengapa tidak diturunkan kepada seseorang yang besar dari salah satu dua negeri ini, Mekah atau Thaif?" Maksudnya mereka mengingkari wahyu dan kenabian Muhammad saw kerana menurut fikiran mereka, seorang yang diutus menjadi rasul itu hendaklah seorang yang kaya raya dan berpengaruh. Kemudian Allah swt menyebutkan pada ayat selanjutnya "Apakah mereka yang membagi-bagi rahmat Tuhanmu? Kami telah menentukan antara mereka penghidupan mereka dalam kehidupan dunia dan kami telah meninggikan sebahagian mereka atas sebahagian yang Iain beberapa darjat agar sebahagian mereka dapat mempergunakan sebahagian yang lain. Dan rahmat Tuhanmu lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan." Maksudnya Allah-lah yang membagikan rahmat kepada manusia, memuliakan manusia yang Dia kehendaki, maka Allah juga yang berkehendak siapa yang menjadi utusan-Nya (rasul) dan Aku menjadikan orang yang Aku kehendaki menjadi kekasih-Ku. Sebagaimana Aku telah membahagikan kepada mereka penghidupan di mana mereka tinggal berupa rezeki dan waktu di dunia dan Aku mengangkat darjat seseorang daripada yang lainnya, begitu juga Aku yang menjadikan seseorang itu kaya atau miskin.
Rujukan: 2001: 580-586 (Tafsir al-Tabari)