Ali-Imran (3) : 188
Jangan sekali-kali engkau menyangka (wahai Muhammad, bahawa) orang-orang yang bergembira dengan apa yang mereka telah lakukan, dan mereka pula suka dipuji dengan apa yang mereka tidak lakukan - jangan sekali-kali engkau menyangka mereka akan terselamat dari seksa, dan mereka pula akan beroleh azab yang tidak terperi sakitnya.
ASBAB 1
Diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim dari Abdul Rahman bin Auf bahawasanya Marwan menyuruh penjaganya yang bernama Rafi untuk pergi menemui Ibnu Abbas menanyakan kandungan ayat ini yang menerangkan bahawa seseorang yang membanggakan amal perbuatannya akan diseksa oleh Allah. Lalu Ibnu Abbas menjelaskan maksud surat itu "Sesungguhnya ayat ini turun berkenaan dengan seorang Ahli Kitab. Suatu hari Rasulullah saw bertanya kepada mereka tentang sesuatu. Akan tetapi mereka menyembunyikannya dan memberitahukan sesuatu yang lain. Kemudian mereka keluar dan memperlihatkan bahawa mereka telah menjawab pertanyaan Rasulullah. Mereka mengharapkan pujian atas perbuatan itu dan senang kerana merasa telah dapat menyembunyikan sesuatu dari Rasulullah." Ada riwayat lain yang dikeluarkan Al-Bukhari dan Muslim dari Abu Said Al-Khudri bahawa ada beberapa orang dari kaum munafik berperang bersama Rasulullah saw. Mereka selalu tertinggal di belakang. Anehnya, mereka merasa senang akan hal itu. Apabila mereka sampai di tempat tujuan peperangan, mereka memohon maaf dan bersumpah. Mereka senang dipuji dan disanjung-sanjungi kerana sesuatu yang tidak dikerjakan mereka. Kemudian turunlah ayat ini.
Rujukan: Lubabun Nuqul Fi Asbabun Nuzul: Riwayat Turunnya Ayat-ayat Al-Qur’an. (Imam Al-Hafizh Jalaluddin Abdurrahman As Sayuti)