An-Nisaa’ (4) : 43
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan Junub (berhadas besar) - kecuali kamu hendak melintas sahaja - hingga kamu mandi bersuci. Dan jika kamu sakit, atau sedang dalam musafir, atau salah seorang di antara kamu datang dari tempat buang air, atau kamu bersentuh dengan perempuan, kemudian kamu tidak mendapat air (untuk mandi atau berwuduk), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah - debu, yang suci, iaitu sapukanlah ke muka kamu dan kedua tangan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.
ASBAB 1
Diriwayatkan oleh Abu Dawud, At-Tirmizi, An-Nasa'i dan Al-Hakim dari Ali bin Abi Thalib, dia berkata "Abdul Rahman bin Auf membuatkan untuk kami makanan dan menyediakan khamar lalu kami menyantap dan meminum khamar itu. Lalu kami melaksanakan solat. Aku menjadi imam dan membaca 'Qul ya ayyuhal kafirun la aqbudu ma taqbudun.' Lalu dilanjutkan, 'Wa nahnu naqbudu ma taqbudun.' Lalu turunlah ayat 43 ini sebagai peringatan." Al-Faryabi, Ibnu Abi Hatim dan Ibnu Mundzir meriwayatkan dari Ali bin Abi Thalib bahawa kelanjutan ayat ini berkenaan ketika dalam perjalanan lalu dia junub, dibolehkan tayamum untuk mendirikan solat.
Rujukan: Lubabun Nuqul Fi Asbabun Nuzul: Riwayat Turunnya Ayat-ayat Al-Qur’an. (Imam Al-Hafizh Jalaluddin Abdurrahman As Sayuti)