Al-Muzzammil (73) : 1

يَا أَيُّهَا الْمُزَّمِّلُ

Wahai orang yang berselimut!.


TAFSIR 1
Allah swt memerintahkan untuk meninggalkan berselimut di malam hari (tidur malam) dan bangun untuk melaksanakan solat malam kerana Tuhannya sebagaimana yang dikatakan oleh Allah swt (Lambung mereka jauh dari tempat tidurnya dan mereka selalu berdoa kepada Rabbnya dengan penuh rasa takut dan harap serta mereka menafkahkan apa-apa rezeki yang kami berikan) (QS As-Sajdah, 32: 16) Rasulullah saw melaksanakan apa yang telah diperintahkan oleh Allah kepada diri beliau untuk melaksanakan solat malam. Hal itu merupakan sebuah kewajiban yang diberikan kepada diri beliau saja sebagaimana yang dikatakan oleh Allah swt, (Dan pada sebahagian malam hari bersembahyang tahajudlah kamu sebagai suatu ibadah tambahan bagimu, mudah-mudahan Tuhanmu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji) (QS Al-Isra 17: 79). Di sini tampak ukuran dari apa yang dilakukannya sehingga Allah berfirman (Wahai orang yang berselimut (Muhammad)! bangunlah (untuk solat) pada malam hari kecuali sebahagian kecil) Ibnu Abbas, Ad-Dhahhak dan As-Saddi berkata, 'Wahai orang yang berselimut (Muhammad)!' Maksudnya adalah wahai orang yang sedang tidur." Qatadah berkata, "Maksudnya adalah seorang yang berselimut di dalam pakaiannya."
Rujukan: 1999: 962 (Tafsir Ibn Katsir)



TAFSIR 2
(Wahai orang yang berselimut (Muhammad)!) Kedatangan Jibril yang pertama kali kepada nabi telah mencemaskannya. Lalu, beliau pulang dari gunung dalam keadaan gemetar dan mengatakan, "Selimutilah aku, selimutilah aku". Ketika beliau dalam keadaan demikian, tiba-tiba datang Jibril dan menyerunya, "Wahai Nabi yang berselimut dengan kain dan bersiap-siap untuk solat, kekalkanlah solat pada waktu malam seluruhnya kecuali sedikit..." Kemudian Jibril memerintahkan kepadanya agar beliau membaca Al-Quran dengan bacaan yang pelan dan perlahan. Lalu Jibril memberitahukan kepadanya bahawa akan diturunkan kepadanya Al-Quran yang mengandungi beban-beban berat bagi mukallaf. Dan bahawa bangun untuk beribadah pada waktu malam itu amat berat dijalankan. Akan tetapi yang demikian itu lebih mantap bagi bacaan Al-Quran kerana hadirnya hati. Sedangkan bacaan Al-Quran di waktu siang itu disertai kesibukan jiwa dengan segala keadaan dunia. Kemudian beliau diperintah untuk menyebutkan nama Tuhan-Nya, mengosongkan diri untuk beribadah dan menyerahkan segala urusan kepada-Nya.
Rujukan: 2001: 367-369 (Tafsir al-Tabari)