At-Takwiir (81) : 1

إِذَا الشَّمْسُ كُوِّرَتْ

Apabila matahari dilingkari cahayanya (dan hilang lenyap);


TAFSIR 1
Ali bin Abu Thalhah meriwayatkan dari Ibnu Abbas bahawa maksud dari firman Allah (Apabila matahari digulung) adalah bahawa matahari menggelapkan alam. Menurut Al Aufi, matahari menghilang. Menurut Qatadah, cahaya matahari sirna. Menurut Said bin Jubair, matahari terbenam. Abu Shalih berkata, "Kata kuwwirat bererti adalah dijatuhkan sedangkan kata At-Takwir bererti menyatukan sebahagian dengan sebahagian yang lain. Jadi, maksud kuwwirat dalam ayat itu adalah menyatukan sebahagian dengan sebahagian yang lain, kemudian menggulung dan melemparnya. Dengan begitu, cahaya matahari akan hilang." Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda sebagai berikut. "Matahari dan rembulan akan digulung pada hari Kiamat." (HR Bukhari).
Rujukan: 1999: 979-980 (Tafsir Ibn Katsir)



TAFSIR 2
Allah swt menjelaskan pada ayat-ayat ini tentang peristiwa-peristiwa besar yang terjadi ketika datangnya hari kiamat atau tanda-tanda datangnya hari kiamat itu. Salah satu tanda kiamat yang disebutkan dalam ayat tersebut adalah (Apabila matahari digulung). Disebutkan dalam sebuah riwayat dari Ibnu Abbas bahawa yang dimaksud ayat tersebut ialah ketika sinar matahari hilang. Dalam riwayat-riwayat lain disebutkan, antara lain dari Ubay bin Kaab, ia berkata "Enam tanda-tanda datangnya hari kiamat, saat manusia sedang sibuk dengan usaha mereka tiba-tiba cahaya matahari hilang. Dan saat manusia masih sibuk dengan usaha mereka, tiba-tiba saja bintang berjatuhan dan saat manusia masih saja sibuk dengan usaha mereka, tiba-tiba gunung menumpahkan isinya ke Bumi, bergoncang, meletupkan dan terbakarlah Bumi. Saat jin meminta pertolongan manusia dan manusia meminta pertolongan kepada jin. Saat dikumpulkan binatang ternak, burung dan binatang buas dan sebahagian mereka bercampur dengan sebahagian yang lain." Itulah beberapa tanda datangnya hari kiamat yang disebutkan dalam Al-Quran, di samping beberapa peristiwa besar lainnya, sebagai pertanda datangnya hari kebangkitan, hari perhitungan di mana setiap perbuatan manusia akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah swt.
Rujukan: 2001: 540-541 (Tafsir al-Tabari)