Al-A’raaf (7) : 22

فَدَلَّاهُمَا بِغُرُورٍ فَلَمَّا ذَاقَا الشَّجَرَةَ بَدَتْ لَهُمَا سَوْآتُهُمَا وَطَفِقَا يَخْصِفَانِ عَلَيْهِمَا مِنْ وَرَقِ الْجَنَّةِ وَنَادَاهُمَا رَبُّهُمَا أَلَمْ أَنْهَكُمَا عَنْ تِلْكُمَا الشَّجَرَةِ وَأَقُلْ لَكُمَا إِنَّ الشَّيْطَانَ لَكُمَا عَدُوٌّ مُبِينٌ

Dengan sebab itu dapatlah ia menjatuhkan mereka berdua (ke dalam larangan) dengan tipu dayanya. Setelah mereka memakan (buah) pohon itu, terdedahlah kepada mereka berdua aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun (dari) Syurga. Serta Tuhan mereka menyeru mereka: "Bukankah Aku telah melarang kamu berdua dari pokok itu, dan Aku katakan kepada kamu, bahawa Syaitan itu adalah musuh kamu yang nyata?"


TAFSIR 1
Ubai bin Kaab r.a meriwayatkan, "Adam mempunyai perawakan yang tinggi, seakan-akan ia seperti pohon kurma yang tua dan memiliki rambut yang lebat. Ketika ia memakan buah terlarang, seketika itu tersingkaplah aurat yang sebelumnya tidak pernah ia lihat. Kemudian ia pergi ke sana dan kemari di dalam syurga, kemudian bersandar dan memasukkan kepalanya pada salah satu pohon yang ada di syurga. Maka Allah memanggilnya, 'Hai Adam, mahu lari ke mana kamu?' Dia menjawab, 'Oh Tuhanku, sesungguhnya aku malu kepada-Mu."' Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dan Ibnu Mardawaih dari satu sisi kemudian dari Al-Hasan dari Ubay bin Kaab dari Rasulullah saw hadis Marfuq dan yang mahuquf ini lebih sahih dari Sisi sanad. Tentang ayat, (Maka mulailah mereka menutupinya dengan daun-daun syurga) Ibnu Abbas berkata, "Maksudnya adalah daun pohon tin." Mujahid berkata, "Mereka berdua menempelkan pada tubuh mereka daun yang ada di syurga iaitu seperti pakaian." Tentang terbukanya pakaian Adam dan Hawa, Wahab bin Manbah berkata, "Pakaian Adam dan Hawa berupa cahaya yang menutupi kemaluan mereka, masing-masing mereka tidak dapat melihat aurat yang lainnya. Ketika mereka memakan buah terlarang maka seketika itulah terlihat aurat mereka.' Diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dengan sanad yang sahih.
Rujukan: 1999: 376-377 (Tafsir Ibn Katsir)



TAFSIR 2
Ayat (Dia (syaitan) memujuk mereka dengan tipu daya) atau syaitan telah menipu keduanya dengan kata-kata manis. (Ketika mereka mencicipi (buah) pohon itu) maksudnya ketika Adam dan Hawa merasa buah kayu itu, (Tampaklah oleh mereka auratnya) maka terbukalah aurat-aurat keduanya, kerana Allah telah menutup auratnya dengan kain yang dipakai keduanya sebelum berbuat dosa dan kesalahan. Pakaiannya terampas kesalahan dan kemaksiatan yang dilakukan keduanya. (Dan mulailah keduanya menutupinya dengan daun-daun syurga) maksudnya mereka menemukan daun-daun syurga, kemudian menutupinya. Ibnu Abbas mentafsirkan firman-Nya, (Dan mulailah keduanya menutupinya dengan daun-daun syurga) bahawa mereka mengambil daun-daun dari syurga dan menutupi auratnya dengan daun tersebut. Rasulullah bersabda sebagai berikut, "Perawakan Adam itu bagaikan pohon kurma yang lebat maka ketika berbuat kesalahan, terbukalah auratnya dan dia tidak melihat auratnya. Kemudian dia pergi dari syurga dan kepalanya diikat dengan pohon syurga. Kemudian dia berkata kepada pohon tersebut, "Antarkanlah saya", dia kemudian menjawab, "Aku bukan utusanmu." Lalu Tuhannya berseru, "Wahai Adam, apakah kamu lari dari-Ku?" Adam pun menjawab, "Tuhanku, hamba malu kepadamu."
Rujukan: 2001: 110-115 (Tafsir al-Tabari)