SOLAT-SOLAT SUNAT

Meskipun Islam mewajibkan ke atas setiap orang Islam supaya mereka menunaikan solat lima waktu bagi setiap hari yang mereka jalani sepanjang hayat, di samping itu digalakkan juga supaya mengerjakan solat sunat. Oleh itu, anjuran agama ini janganlah dipandang ringan, kerana pahalanya sangat besar dan mendapat keutamaan (fadhilat) di sisi Allah SWT Daripada hadith- hadith Nabi Muhammad SAW yang kami sebutkan nanti akan lebih jelas kepada kita betapa besarnya keutamaan solat-solat sunat itu. Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: lyn "Barangsiapa yang mengerjakan solat sunat sebanyak duabelas rakaat dalam sehari semalam, maka Allah SWT membinakan untuknya mahligai di dalam syurga". Kemudian Baginda s.a.w menerangkan iaitu dikerjakan solat sunat sebanyak empat rakaat sebelum fardhu Zohor dan dua rakaat selepasnya, dua rakaat sebelum fardhu 'Asar, dua rakaat selepas fardhu Maghrib dan dua rakaat sebelum fardhu 'Isyak. Dalam satu hadith yang lain, Baginda SAW bersabda yang maksudnya: "Barangsiapa solat dua rakaat yakni apa-apa jenis solat sunat yang dilakukan dalam tempat yang sunyi tanpa dilihat oleh manusia, melainkan Allah dan malaikat-Nya, nescaya disuratkan (dituliskan) untuknya kelepasan daripada api neraka". Sabda Nabi Muhammad SAW lagi yang maksudnya: "Mana-mana hamba yang mengerjakan solat dalam rumahnya yang gelap dengan melakukan rukuk dan sujud yang sempurna, maka Tuhan akan membalas syurga kepadanya tanpa hisab. Lagi sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: "Barangsiapa, mengerjakan sunat Dhuha sebanyak dua belas rakaat, dibaca bagi tiap tiap rakaat surah Al-Fatihah sekali, ayat Kursi sekali, Al-Ikhlas sekali, nescaya turun dari langit 70 ribu malaikat yang membawa bersama-sama mereka beberapa keping kertas yang putih serta beberapa pena daripada nur, sambil mereka menulis baginya (orang itu) beberapa kebajikan sehingga hari yang ditiupkan sangka kala". Apabila tiba hari kiamat, datanglah sekalian malaikat tadi membawa hadiah pakaian sambil berdiri di atas kuburnya, lalu berucaplah mereka: "Wahai Sahibal Qubr, (wahai penghuni kubur), bangunlah kamu dengan keizinan daripada Allah Taala. Kerana kamu ialah seorang yang termasuk dalam golongan mereka yang terselamat dan sejahtera". Dan lagi Rasulullah SAW memberitahu bahawa di antara beberapa nikmat yang besar bagi ahli syurga ialah melihat wajah Allah Ta'ala pada tiap-tiap hari sebanyak dua kali. Sekali di waktu pagi dan sekali lagi di waktu petang. Baginda SAW membaca firman Allah Ta'ala: وُجُوْهٌ يَوْمَئِذٍ نَاضِرَةٍ إِلَى رَبِّهَا نَاظِرَة. Maksudnya: "Beberapa wajah (muka) yang berseri-seri pada hari itu melihat kepada wajah Allah" (Al-Qiamah: 22). Mudah-mudahan kita termasuk dalam golongan hamba-Nya yang ta'at dan rajin melakukan amal ibadat dengan penuh keimanan dan dimatikan dalam Islam serta dimasukkan ke dalam kumpulan orang-orang soleh dan dijauhkan daripada azab siksaan neraka.