Al-Anfaal (8) : 17
Maka bukanlah kamu yang membunuh mereka, akan tetapi Allah jualah yang menyebabkan pembunuhan mereka. Dan bukanlah engkau (wahai Muhammad) yang melempar ketika engkau melempar, akan tetapi Allah jualah yang melempar (untuk membinasakan orang-orang kafir), dan untuk mengurniakan orang-orang yang beriman dengan pengurniaan yang baik (kemenangan) daripadaNya. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
TAFSIR 1
Allah swt menjelaskan bahawa Dia adalah Sang Pencipta, Sang Penggerak segala perbuatan hamba-hamba-Nya. Dialah yang layak mendapat pujian atas segala perbuatan baik hamba-hamba-Nya kerana sesungguhnya Dialah yang memberikan petunjuk dan pertolongan kepada mereka. Oleh kerana itu, Allah swt berfirman, (Maka (sebenarnya) bukan kamu yang membunuh mereka) Maksud ayat di atas adalah bahawa sebenarnya bukan kerana kemampuan dan kekuatan kalian jika kalian dapat membunuh musuh-musuh, dalam keadaan jumlah musuh sangat banyak sedangkan jumlah kalian sangat sedikit, melainkan Allahlah yang memberikan kemenangan kepada kalian atas mereka. Allah swt kemudian berfirman kepada Nabi-Nya dalam masalah segenggam kerikil yang beliau lemparkan. Kerikil tersebut tepat mengenai wajah-wajah kaum kafir pada hari Perang Badar ketika beliau keluar dari anjang-anjang setelah beliau berdoa dan bermunajat. Beliau melemparkan kerikil tersebut dan berkata, "Aku dapat mengenai wajah-wajah mereka. " Kemudian beliau memberi perintah kepada para sahabatnya untuk ikut melakukan hal itu. Para sahabat pun melakukannya dan Allah swt membuat kerikil yang mereka lemparkan tepat mengenai mata kaum musyrik. Tidak ada satu pun dari kaum musyrik yang tidak terkena lemparan itu. Dalam hal ini Allah swt berfirman sebagai berikut. (Dan bukan kamu yang melempar ketika kamu melempar tetapi Allahlah yang melempar)
Rujukan: 1999: 423 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Pada rangkaian ayat-ayat ini (15-19) Allah swt menerangkan tentang hukum umum dari berbagai peristiwa yang akan terjadi sepanjang zaman, meski penjelasan-Nya ini diungkapkan dalam kaitannya dengan kisah tentang perang Badar Kerana begitu pentingnya memperhatikan hukum-hukum tersebut dan sebagai anjuran kepada kaum mukmin agar tetap memeliharanya. Dan pada ayat ini, Allah menegaskan bahawa kemenangan seperti itu tak Iain adalah berkat dukungan dari Allah swt kepada kaum mukmin dan peneguh-Nya terhadap hatimu serta pemantapan-Nya akan langkah kakimu. Jadi pada hakikatnya bukanlah kaum mukmin yang memerangi mereka dengan serangan seperti itu, yang telah membinasakan sekian banyak orang kafir dengan kekuatan dan perlengkapannya. Tetapi Allah-lah yang telah membunuh mereka dengan tangan-tangan kaum mukmin iaitu dengan cara meneguhkan hatinya dan memberi semangat ke dalam jiwanya dan dengan menjatuhkan rasa ketakutan ke dalam hati musuhnya.
Rujukan: 2001: 82-89 (Tafsir al-Tabari)