Hud (11) : 6
Dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Lauh mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat yang berkenaan).
TAFSIR 1
Di dalam ayat tersebut Allah swt memberitahukan bahawa Dia yang menanggung rezeki semua makhluk yang berada di atas Bumi, baik yang kecil mahupun besar, di daratan mahupun di lautan dan bahawa Dia mengetahui tempat kediaman dan tempat penyimpanannya. Ertinya, Dia mengetahui tempat akhir perjalanan mereka di Bumi dan tempat penyimpanan mereka. Ali bin Abu Thalhah dan perawi yang lain meriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a bahawa maksud firman Allah, (Dia mengetahui tempat kediamannya) adalah tempat kediaman dan (Dan tempat penyimpanannya) adalah tempat ketika mereka meninggal. Semua itu telah tertulis dalam kitab di sisi-Nya yang menjelaskan segala hal yang berkaitan dengannya. Hal itu sebagaimana yang terdapat dalam firman Allah swt sebagai berikut. (Dan kunci-kunci semua yang ghaib ada pada-Nya, tidak ada yang mengetahui selain Dia. Dia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut. Tidak ada sehelai daun pun yang gugur yang tidak diketahui-Nya, tidak ada sebutir biji pun dalam kegelapan Bumi dan tidak pula sesuatu yang basah atau yang kering, yang tidak tertulis dalam kitab yang nyata (Lauh Mahfuz)). (QS Al-An?am, 6: 59).
Rujukan: 1999: 500 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Pada ayat-ayat sebelumnya, Allah menjelaskan kekuasaan-Nya yang meliputi segala sesuatu dan ilmu-Nya yang meliputi apa saja yang tersimpan dalam dada manusia. Sedangkan pada rangkaian ayat-ayat 6-8, Allah menjelaskan tentang pengaruh kekuasaan-Nya, hal-hal yang berkaitan dengan kehidupan dan aneka macam urusan manusia serta penciptaan alam semesta. Adapun penekanan pada ayat (Dan tidak satu pun makhluk bergerak (bernyawa)) ini adalah Allah telah menyediakan rezeki segenap makhluk hidup dan memberi mereka petunjuk untuk mencari dan memperolehnya. Allah mengetahui tempat makhluk-makhluk hidup itu diam dan bertempat tinggal dan di mana dulu dia disimpan sampai pada suatu saat tertentu. Segenap makhluk hidup itu dengan rezeki, tempat tinggal dan tempat penyimpanan masing-masing adalah telah ditetapkan dan tercantum dalam kitab yang nyata (Lauh Mahfuz) sebelum mereka diciptakan. Mengisyaratkan kepada kaum kafir bahawa Allah Maha Mengetahui rasa permusuhan dan kemunafikan mereka terhadap Nabi Muhamad saw meski disembunyikan.
Rujukan: 2001: 324-328 (Tafsir al-Tabari)