Al-Baqarah (2) : 168
Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.
TAFSIR 1
Dalam ayat ini Allah swt, menyerukan kepada umat manusia agar selalu menjaga diri dari barang haram. Mereka hendaknya mencari dan mengonsumsi sesuatu yang baik dan halal sebagaimana telah diatur syariat. Allah swt juga memerintahkan umat manusia agar selalu waspada terhadap pujuk rayu syaitan yang hendak menjerumuskan mereka ke lembah kesesatan. Syaitan akan berupaya dengan sekuat tenaga untuk menjebak manusia agar mencari dan memakan barang yang haram. Syaitan selalu mengelabui dan memperdaya manusia dengan iming-iming kemudahan mencari rezeki. Dalam hadis qudsi disebutkan bahawa Allah swt telah memberikan rezeki yang baik dan halal kepada para hamba-Nya. Namun, mereka teperdaya oleh pujuk rayu syaitan yang selalu berupaya menjerumuskan manusia ke dalam kebatilan. Dalam sebuah riwayat disebutkan bahawa Rasulullah memerintahkan Abu Saad agar selalu menjaga makanannya. la diberi pesan hendaknya selalu memakan sesuatu yang baik sehingga Allah swt berkenan mengabulkan doa-doanya. Dijelaskan di akhir ayat bahawa syaitan sebenarnya musuh yang sangat nyata yang menjadi sebab bencana bagi umat manusia, baik di dunia mahupun di akhirat. Semua perbuatan maksiat tidak lain merupakan rekayasa syaitan. Kerana itu, kewaspadaan terhadap pujuk rayu setan dengan segala bentuknya hendaknya ditingkatkan dengan cara meningkatkan ibadah kepada Allah swt. Selain itu, harus selalu memohon agar dilindungi dari godaan syaitan.
Rujukan: 1999: 97 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Dalam ayat ini Allah menjelaskan (Wahai manusia! Makanlah dari (makanan) yang halal dan baik yang terdapat di bumi) adalah dari berbagai makanan yang telah dihalalkan oleh Allah melalui Rasul-Nya, termasuk binatang ternak yang kalian haramkan seperti Bahirah (unta betina yang telah beranak lima kali dan anak kelima itu jantan), Saibah (unta betina yang dibiarkan pergi ke mana saja kerana sesuatu nazar), Wasilah (domba jantan yang dilahirkan secara kembar dengan betina) dan lain-lain, kecuali yang diharamkan oleh Allah untukmu, iaitu bangkai, darah, daging babi dan (haiwan) yang disembelih bukan atas nama Allah. Dan tinggalkanlah oleh kalian langkah-langkah syaitan yang akan mencelakakan dan membawa kamu kepada kebinasaan dan juga telah mengharamkan bagi kamu harta-harta kamu. Sehubungan dengan itu, janganlah kamu mengikutinya dan jangan pula mengamalkannya. Kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu. Iaitu telah nyata bagi kamu permusuhan syaitan kerana ia menolak untuk sujud kepada bapa kamu (Adam). la menggoda Adam sehingga dikeluarkan dari syurga dan menggelincirkannya kepada kesalahan sehingga ia memakan pohon yang dilarang untuk didekati.
Rujukan: 2001: 36-39 (Tafsir al-Tabari)