An-Nahl (16) : 75
Allah memberikan satu misal perbandingan: Seorang hamba abdi yang menjadi milik orang, yang tidak berkuasa melakukan dengan bebasnya sesuatupun; dan seorang lagi (yang merdeka) yang Kami kurniakan kepadanya pemberian yang baik (harta kekayaan) dari Kami, maka dia pun membelanjakan hartanya dengan bebasnya, sama ada secara bersembunyi atau terbuka, adakah kedua orang itu sama? Segala puji tertentu bagi Allah (dan Allah jualah yang berhak disembah), tetapi kebanyakan mereka (yang musyrik) tidak mengetahui (hakikat tauhid itu).
TAFSIR 1
Al-Aufi meriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a yang menerangkan ayat ini bahawa Allah membuat perumpamaan bagi dua sosok yang amat bertolak belakang iaitu seorang mukmin dan kafir. Hal senada yang dikatakan Qatadah dan dikutip Ibnu Jarir. Hamba sahaya yang tidak dapat menguasai dirinya sendiri kerana dimiliki seorang merdeka menjadi perumpamaan bagi seorang kafir. Sedangkan orang merdeka yang dikurniai Allah rezeki yang cukup dan ia mengeluarkan kewajibannya untuk bersedekah secara terang-terangan (diketahui orang lain) ataupun sembunyi-sembunyi merupakan perumpamaan yang Allah deskripsikan bagi seorang mukmin. Diriwayatkan dari Mujahid bahawa perumpamaan ini juga berlaku bagi kesesatan yang dibawa berhala dan sembahan sesat dengan kebenaran milik Allah swt. Maka apakah sama antara perumpamaan yang satu dan lainnya?! Amat mudah mencari jawapannya. Perbezaan antara keduanya amat jauh. Hanya orang yang kurang akal yang salah menjawab. Kemudian, Allah menutup ayat ini dengan (Segala puji hanya bagi Allah tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui).
Rujukan: 1999: 585 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Allah berfirman, "Wahai manusia, samakah perumpamaan orang kafir dan orang mukmin? Perumpamaan orang kafir adalah ia tidak melakukan ketaatan kepada Allah, tidak berbuat kebajikan, tidak menginfakkan sesuatu pun di jalan Allah kerana besarnya penghinaan Allah atasnya. Maka orang kafir seperti ini bagaikan seorang hamba sahaya yang tidak berdaya sehingga tidak bisa menginfakkan apa pun. Sementara seorang mukmin itu melakukan ketaatan kepada Allah dan menginfakkan sebahagian rezekinya di jalan Allah, maka perumpamaannya bagaikan orang merdeka yang diberi harta oleh Allah sehingga ia pun berinfak secara sembunyi-sembunyi mahupun terang-terangan. Apakah sama antara keduanya? Demikian pula tidaklah sama antara seorang kafir yang selalu membangkang dengan seorang mukmin yang selalu taat." Pendapat ini dikuatkan pentafsiran dalam riwayat Qatadah dan Ibn Abbas. (Segala puji hanya bagi Allah) maksudnya segala puji yang sempurnana hanyalah milik Allah tetapi bukan pujian yang dilontarkan para penyembah berhala kepada sembahannya. (Tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui) maksudnya tidaklah kepastian itu seperti yang kalian perbuat, kata-kata yang kalian utarakan. Berhala yang tidak bertangan dan member kemanfaatan tetapi kalian memujinya. Padahal pujian itu hanya milik Allah tetapi kebanyakan orang musyrik tidak mengetahui hal itu. Mereka terjebak dalam kebodohan dalam mengenal dan menyembah tuhan.
Rujukan: 2001: 308-309 (Tafsir al-Tabari)