Al-Baqarah (2) : 14
Dan apabila mereka bertemu dengan orang-orang yang beriman, mereka berkata: " Kami telah beriman ", dan manakala mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka, mereka berkata pula:" Sesungguhnya kami tetap bersama kamu, sebenarnya kami hanya memperolok-olok (akan orang-orang yang beriman)".
ASBAB 1
Ayat ini diturunkan untuk menceritakan perihal Abdullah bin ubay dan kawan-kawannya dalam peristiwa berikut: Pada suatu hari di saat mereka bertemu dengan beberapa orang sahabat Nabi SAW, Abdullah berkata kawan-kawannya lihatlah bagaimana caranya aku mempermainkan mereka yang bodoh-bodoh itu! Maka dia mendekati lalu menjabat tangan Abu Bakar sambil berkata: “Selamat penghulu Bani Taim dan Syaikhul Islam dan orang kedua bersama Rasulullah di dalam gua Gua Thur, yang mengorbankan jiwa dan harta bendanya untuk Rasulullah”. Kemudian dia menjabat tangan Umar sambil berkata: “Selamat penghulu Bani Adi bin Ka'b yang mendapat gelaran al-Faruq, yang kuat memegang agama Allah, yang mengorbankan jiwa dan harta bendanya untuk Rasulullah?” Selepas itu dia menjabat tangan Ali bin Abi Talib sambil berkata: “Selamat saudara sepupu Rasulullah, menantunya dan penghulu Bani
Hasyim selepas Rasulullah” Setelah itu, mereka berpisah dan berkatalah Rasulullah bin Ubay kepada kawan-kawannya: “Sebagaimana kamu telah melihat perbuatanku tadi, jika kamu bertemu dengan mereka, lakukanlah seperti apa yang tela h kulakukan tadi. “Maka kawan-kawannya pun memuji Abdullah bin Ubay. Apabila kaum muslimin iaitu Abu Bakar, Umar dan Ali bertemu Rasulullah mereka menceritakan peristiwa tersebut. Maka turunlah ayat 14 yang memberitahu tentang kepalsuan golongan munafik di dalam menghadapi kaum muslimin (Diriwayatkan oleh al-Wahidi dan at-Tsa'labi daripada Muhammad bin Marwan dan as-Suddi as-Shaghir daripada al-Kalbi daripada Abi Salleh daripada Ibnu Abbas). Walau bagaimanapun, sanad riwayat ini dhaif (sangat lemah) kerana as-Suddi as-Saghir seorang pendusta, begitu juga al-Kalbi dan Abi Salleh dhaif.
Rujukan: Lubabun Nuqul Fi Asbabun Nuzul: Riwayat Turunnya Ayat-ayat Al-Qur’an. (Imam Al-Hafizh Jalaluddin Abdurrahman As Sayuti)