Al-Hajj (22) : 60
Demikianlah (janji balasan Allah yang melimpah-limpah itu). Dan sesiapa yang membalas kejahatan orang, sama seperti yang dilakukan kepadanya, kemudian ia dianiaya lagi, demi sesungguhnya Allah akan menolongnya. (Dalam pada itu ingatlah) sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.
TAFSIR 1
Dalam rangkaian ayat ini, Allah menerangkan perihal orang yang berhijrah di jalan Allah demi menggapai redha-Nya. Kerana rela meninggalkan tanah kelahirannya dan keluarga tercintanya lalu gugur saat berperang membela agama Allah (mati syahid dalam jihad) atau meninggal kerana sebab lain (bukan sebagai syahid dalam peperangan) maka orang itu akan mendapatkan pahala setimpal dan pujian dari Allah swt. Hal itu sebagaimana disebutkan dalam firman Allah (Barang siapa keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah kerana Allah dan Rasul-Nya kemudian kematian menimpanya (sebelum sampai ke tempat yang dituju), maka sungguh pahalanya telah ditetapkan di Sisi Allah) (QS An-Nisa, 4: 100) Bahkan, lebih lanjut Allah menjanjikan mereka rezeki yang baik (syurga) sebagai anugerah tiada ternilai. Janji itu Allah tuangkan dalam QS Ali Imran, 3: 169. Berkaitan dengan firman Allah (Demikianlah dan barang siapa membalas seimbang dengan (kezaliman) penganiayaan yang pernah dia derita kemudian dia zalimi (lagi), pasti Allah akan menolongnya. Sungguh Allah Maha Pemaaf, Maha Pengampun) Muqatil bin Hayyan dan Ibnu Juraij menyebutkan bahawa ayat ini turun saat pasukan perang kaum muslimin bertemu dengan pasukan perang kaum musyrikin pada bulan Muharam. Kaum muslimin pun mengungkapkan adanya larangan berperang pada bulan-bulan haram (termasuk bulan Muharam). Namun, kaum musyrikin tidak menghiraukan seruan kaum muslimin itu sehingga terjadilah peperangan di antara keduanya. Tentu saja kemudian Allah menolong kaum muslimin dan memberikan kemenangan untuk mereka dengan gemilang.
Rujukan: 1999: 721 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Pada ayat-ayat sebelumnya, Allah menjelaskan bahawa pada hari Kiamat kelak kekuasaan ada pada-Nya, bahawa Dia akan mengambil keputusan di antara hamba-hamba-Nya yang mukmin dan yang kafir dan bahawa Dia akan memasukkan kaum mukmin ke dalam syurga yang penuh kenikmatan. Pada rangkaian ayat-ayat ini (58-62), Allah menjanjikan kepada orang-orang yang berhijrah di jalan-Nya, bahawa Dia akan memberi mereka rezeki yang baik dan memasukkan mereka ke dalam tempat yang mereka sukai. Kemudian menjanjikan kepada orang yang berperang kerana dianiaya seperti dipaksa untuk berhijrah dan meninggalkan kampung halaman, bahawa Dia akan menolongnya dan Dia Maha Kuasa untuk melakukan itu sebab Tuhan yang kuasa untuk memasukkan malam ke dalam siang dan sebaliknya, kuasa pula untuk menolongnya. Sementara pada ayat ini dijelaskan bahawa rezeki yang baik dan tempat masuk yang mulia itu diperuntukkan bagi orang-orang yang terbunuh atau mati di jalan Allah. Di samping itu, mereka juga akan memperoleh kemenangan di dunia atas musuh-musuh mereka.
Rujukan: 2001: 620-621 (Tafsir al-Tabari)