An-Nuur (24) : 6
وَالَّذِينَ يَرْمُونَ أَزْوَاجَهُمْ وَلَمْ يَكُنْ لَهُمْ شُهَدَاءُ إِلَّا أَنْفُسُهُمْ فَشَهَادَةُ أَحَدِهِمْ أَرْبَعُ شَهَادَاتٍ بِاللَّهِ إِنَّهُ لَمِنَ الصَّادِقِينَ
Dan orang-orang yang menuduh isterinya berzina, sedang mereka tidak ada saksi-saksi (yang mengesahkan tuduhannya itu) hanya dirinya sendiri, maka persaksian (sah pada syarak) bagi seseorang yang menuduh itu hendaklah ia bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa sesungguhnya ia dari orang-orang yang benar; -
TAFSIR 1
Di dalam ayat yang mulia ini terdapat sebuah kelonggaran dan jalan keluar alternatif apabila ada seseorang yang menuduh isterinya berbuat zina sedangkan sulit baginya memberikan bukti bahawa isterinya telah berbuat zina dengan menghadirkan empat orang saksi. Hal itu seperti apa yang diperintahkan oleh Allah iaitu dengan membawanya kehadapan seorang hakim sehingga ia dapat menuntut isterinya dengan tuduhan yang ia lontarkan. Dengan turunnya ayat ini, dia dapat bersumpah empat kali atas nama Allah hadapan hakim sebagai ganti dalam menhadirkan empat orang saksi. Maksud firman Allah (Bahawa sesungguhnya dia termasuk orang yang berkata benar) adalah dia benar dalam tuduhannya itu.
Rujukan: 1999: 740 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Maksud firman-Nya (Dan orang-orang yang menuduh) adalah lelaki kepada isterinya dengan tuduhan zina (Padahal mereka tidak ada mempunyai saksi-saksi) yang dapat membenarkan tuduhan mereka kepada isteri yang dituduh berzina. (Maka kesaksian masing-masing orang itu ialah empat kali bersumpah dengan (nama) Allah bahawa sesungguhnya dia termasuk orang yang berkata benar). Sahl bin Saad menjelaskan, "Ada seorang lelaki dari Ansar datang menemui Nabi saw seraya berkata, 'Bagaimana pendapat Anda tentang seorang lelaki yang melihat isterinya bersama lelaki lain, bolehkah ia membunuh lelaki itu sehingga mereka benar-benar terbunuh atau apa yang mesti sebaiknya dia lakukan?' Lalu Allah menurunkan firman-Nya dalam Al-Quran tentang hukum li'an. Rasulullah saw bersabda kepadanya, 'Allah telah memutuskan perkara antara kamu dan isterimu.' Maka keduanya pun melakukan li'an (saling melaknat) sementara aku menyaksikannya di Sisi Rasulullah saw. Lalu beliau memisahkan keduanya. Maka Sunnah yang berlaku adalah memisahkan antara sepasang suami isteri yang melakukan li'an. Saat itu wanita tersebut hamil, lalu si suami mengingkari kehamilan isterinya bukan dari benihnya. Kemudian anaknya dinisbatkan kepada ibunya. Lalu Sunnah Nabi yang berlaku berkaitan dengan pembahagian harta warisan adalah si anak berhak menerima warisan dari ibunya dan si ibu berhak menerima warisan dari anaknya menurut pembahagian yang telah Allah tetapkan."
Rujukan: 2001: 176-186 (Tafsir al-Tabari)