Asy-Syu’araa (26) : 24
Nabi Musa menjawab. "Dia lah yang memiliki dan mentadbirkan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya, - kalaulah kamu mahu mendapat keyakinan dengan berdalil maka inilah jalannya".
TAFSIR 1
Maksud firman Allah (Dia (Musa) menjawab, 'Tuhan Pencipta langit dan Bumi dan apa yang ada di antara keduanya (itulah Tuhanmu) jika kamu memercayai-Nya) adalah Nabi Musa a.s hendak menyedarkan kepada Firaun bahawa Allah swt adalah Zat Maha Besar. Dialah yang menciptakan langit dan Bumi seisinya. Semua berjalan sesuai dengan sunnatullah. Langit yang dihiasi dengan jutaan galaksi menjadi bukti bahawa Allah swt Maha Pencipta dan Maha Besar. Semuanya berjalan teratur sesuai dengan kehendak-Nya. Allah swt pula Zat yang menghamparkan Bumi. Ratusan juta spesis diciptakan dan masing-masing dalam kendaIi-Nya. Gunung yang menjulang tinggi dan air laut yang begitu luas menjadi bukti betapa ini semua hanya diciptakan oleh Allah swt. Allah swt adalah Pencipta tunggal yang tidak berkawan atau bersekutu. Nabi Musa a.s kembali menegaskan kepada Firaun, apakah dia masih ragu akan ketuhanan Allah swt? Nabi Musa a.s telah memberikan bukti-bukti yang sangat agung. Namun, keagungan itu hanya bisa diterima dan dirasakan oleh mereka yang yakin bahawa Allah swt adalah Pencipta alam semesta. Keyakinan itu pula yang mengantarkan orang kepada keimanan yang hakiki. Hal ini sebagaimana ditegaskan pada ayat (Jika kamu memercayai-Nya).
Rujukan: 1999: 778 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Setelah Musa dan Harun berhadapan dengan Firaun, ia lalu berkata kepadanya, "Sesungguhnya kami adalah utusan Tuhan alam semesta yang mengutus kami kepadamu untuk menunjukimu ke jalan yang haq dan lurus" serta mengalahkannya dengan hujjah maka Firaun kembali membantah perkataan Musa mengenai "utusan Tuhan alam semesta". Firaun berkata, "Kamu mengaku-ngaku bahawa kamu adalah utusan Tuhan alam semesta, siapa Dia?" Perkataan itu dilontarkan kerana dia telah berkata kepada kaumnya "Aku tidak mengetahui tuhan bagi kalian selain aku" (QS Al-Qasas, 28: 38) Pada ayat ini dijelaskan jawapan Musa atas pertanyaan Firaun itu: "Tuhan alam semesta itu ialah pencipta alam tertinggi dengan bintang-bintang yang tetap dan bintang-bintang yang beredar yang ada padanya, alam bawah dengan segala isinya berupa lautan, gurun pasir, gunung, pepohonan, haiwan dan tumbuh-tumbuhan serta apa yang terdapat di antara kedua alam itu seperti udara dan burung, jika kalian mempunyai hati yang cocok dan pandangan yang tajam untuk bisa memahaminya dengan saksama.
Rujukan: 2001: 559-563 (Tafsir al-Tabari)