Ali-Imran (3) : 48
Dan Allah akan mengajarnya ilmu menulis, dan hukum-hukum aturan ugama, dan juga kandungan kitab-kitab Taurat dan Injil.
TAFSIR 1
Dalam ayat ini Allah swt mengkhabarkan tentang sifat Nabi Isa dan mukijizat-mukjizat yang diberikan kepadanya. Nabi Isa terlahir tanpa bapa dari rahim seorang ibu yang soleh. Sebelum kelahiran Isa, Allah swt telah mengkhabarkan kepada Maryam bahawa kelak anaknya akan diberi Injil yang menjadi pedoman hidup umatnya. Firman Allah (Dan Dia (Allah) mengajarkan kepadanya (Isa) Kitab, Hikmah, Taurat dan Injil) menjelaskan bahawa Dia mengajari Isa tentang syariat-syariat-Nya yang termaktub dalam Taurat yang diturunkan kepada Nabi Musa dan disempurnakan dalam kitab Injil. Dengan berbekal Injil, Nabi Isa diutus untuk berdakwah kepada Bani Israil. Di hadapan Bani Israil, Nabi Isa menyampaikan bahawa Allah swt telah mengutusnya sebagai rasul dan telah memberinya beberapa mukjizat. Mukjizat itu dimaksudkan untuk menunjukkan kebesaran Allah swt dan kebenaran risalah yang dibawanya. Di antara mukjizat Nabi Isa adalah mampu menghidupkan burung yang terbuat dari tanah liat, menyembuhkan orang yang buta, menyembuhkan orang yang terkena penyakit kusta dan mengetahui apa yang sedang atau akan dimakan seseorang serta jenis makanan yang ada di dalam rumahnya.
Rujukan: 1999: 173 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Ayat ini merupakan khabar pertama dari Allah Azza wa Jalla kepada Maryam tentang apa yang akan Dia lakukan terhadap anak itu (Isa), sebagai khabar gembira untuknya, iaitu pemberian karamah, kedudukan, serta keutamaan yang tinggi. Demikianlah Allah menciptakan seorang anak tanpa suami. Kemudian, dia diajarkan Kitab yang ditulis melalui tangan-Nya dan diajarkan hikmah (sunnah) sebagai wahyu yang tidak dalam bentuk kitab, serta diajarkan Taurat yang diturunkan kepada Nabi Musa pada zamannya, juga diajarkan Injil yang tidak ada sebelumnya. Akan tetapi Allah telah mengabarkan semua ini kepada Maryam, sebelum diciptakan Isa.
Rujukan: 2001: 415-417 (Tafsir al-Tabari)