Saba’ (34) : 23
Dan tidak berfaedah syafaat di sisi Allah kecuali bagi orang yang telah diizinkan Allah, (maka orang-orang yang hendak memohon syafaat terpaksa menunggu izin itu dengan penuh perasaan takut dan bimbang) sehingga apabila dihapuskan Allah perasaan takut dari hati mereka (dengan pemberian izin itu) bersukarialah mereka dengan bertanya-tanyaan sesama sendiri: "Apakah yang telah dititahkan oleh Tuhan kamu?" Sebahagian di antara mereka menjawab: "Tuhan telah menitahkan kebenaran"; dan Dia lah jua Yang Maha Tinggi keadaanNya, lagi Maha Besar kekuasaanNya.
TAFSIR 1
Allah berfirman (Dan syafaat (pertolongan) di sisi-Nya hanya berguna bagi orang yang telah diizinkan-Nya (memperoleh syafaat itu)) adalah berkat kebesaran-Nya, keagungan-Nya dan kesombongan-Nya tidak ada siapa pun yang berani memberi syafaat di Sisi Allah pada perkara apa pun, melainkan setelah Allah mengizinkannya untuk memberi syafaat. Sehubungan dengan ayat itu, dalam sahih Bukhari dan sahih Muslim, dinyatakan bahawa Rasulullah saw merupakan pemimpin anak cucu Adam dan pemberi syafaat terbesar di Sisi Allah, ketika beliau menempati kedudukan yang mulia untuk memberi syafaat kepada seluruh makhluk, di mana para makhluk saat itu meminta beliau untuk menghadap Allah agar memutuskan dan meringankan perkara mereka. Firman Allah (Sehingga apabila telah di hilangkan ketakutan dari hati mereka, mereka berkata "Apakah yang telah difirmankan oleh Tuhanmu?" Mereka menjawab "(Perkataan) yang benar) ini juga merupakan kedudukan yang tinggi dalam keagungan Allah kerana sesungguhnya Allah swt apabila berfirman dengan wahyu-Nya lalu penghuni langit mendengar firman-Nya itu, gemetarlah mereka kerana saking takutnya, bahkan membuat mereka hampir pengsan sebagaimana yang dikatakan oleh Ibnu Mas'ud r.a, Masruq dan lainnya. Firman Allah (Sehingga apabila telah dihilangkan ketakutan dari hati mereka) adalah rasa takut yang lenyap dari hati mereka.
Rujukan: 1999: 886 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Maksud ayat (Dan syafaat (pertolongan) di sisi-Nya hanya berguna bagi orang yang telah diizinkan-Nya (memperoleh syafaat itu)) syafaat tidak berguna bagi seseorang pun di Sisi Allah kecuali bagi siapa yang diizinkan-Nya. Dan Allah tidak mengizinkan kepada seorang pun untuk memberikan syafaat dari orang-orang musyrik. Sebab bagaimana mungkin mereka yang menyembah selain Allah, dengan dugaan bahawa penyembahan itu untuk mendekatkan kepada Allah, dapat memberikan syafaat? Para ulama berbeza pendapat mengenai siapakah yang dihilangkan rasa ketakutan dari dalam hatinya dalam ayat (Sehingga apabila telah dihilangkan ketakutan dari hati mereka) ini. Sebahagian di antara mereka berpendapat, bahawa hati para malaikat yang dikagetkan. Iaitu ketika mereka mendengar kalam Allah saat menurunkan wahyu sehingga mereka pengsan. Diriwayatkan dari Ibnu Mas'ud bahawa maksud ayat (Mereka berkata, "Apakah yang telah difirmankan oleh Tuhanmu?" Mereka menjawab "(Perkataan) yang benar) yaitu terjadi sesuatu di Arsy yang didengar oleh para malaikat seperti seseorang yang sedang menyeret deretan bukit Shafa. Hal ini membuat pengsan para malaikat. Ketika rasa takut itu hilang mereka saling memanggil "Apakah yang telah difirmankan oleh Tuhan-mu? Lalu berkata seseorang yang Allah kehendaki "Ini adalah sebuah kebenaran dan la adalah Yang Maha Tinggi serta Maha Agung" (HR Ibnu Abi Hatim, 457) Dan banyak hadis-hadis lain yang senada dengan hadis di atas. Sebahagian yang lain berpendapat bahawa yang merasa takut adalah para malaikat. Mereka merasa takut ketika Allah menetapkan satu ketetapannya kerana takut ketetapannya itu adalah terjadinya hari kiamat. Sebahagian yang lain berpendapat bahawa yang dimaksud adalah orang-orang musyrik iaitu ketika syaitan menakut-nakuti hati-hati mereka. Adapun pendapat yang paling kuat adalah pendapat yang disebutkan oleh As-Sya'abiyy dari Ibnu Mas'ud kerana keabsahan khabar yang disampaikannya yang dikuatkan juga oleh hadis dari Ibnu Abbas dari Rasulullah saw.
Rujukan: 2001: 274-282 (Tafsir al-Tabari)