Ali-Imran (3) : 77
Sesungguhnya orang-orang yang mengutamakan keuntungan dunia yang sedikit dengan menolak janji Allah dan mencabuli sumpah mereka, mereka tidak akan mendapat bahagian yang baik pada hari akhirat, dan Allah tidak akan berkata-kata dengan mereka dan tidak akan memandang kepada mereka pada hari Kiamat, dan tidak akan membersihkan mereka (dari dosa), dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
TAFSIR 1
Ayat ini menjelaskan bahawa Allah swt tidak akan memberikan bahagian apa pun kepada orang-orang yang suka mengingkari janji. Maksud ingkar janji sebagaimana disebutkan ayat ini adalah menukar ayat-ayat Allah swt dengan harta dunia yang murah dan fana. Mereka menggadaikan keimanan dan ketakwaan dengan kesenangan duniawi kerana menganggap kesenangan duniawi bisa membuat mereka bahagia. Mereka tidak sedar kebahagiaan itu hanya sesaat. ltulah pangkal kemaksiatan dan penyelewengan terhadap syariat Allah swt. Hari akhir merupakan hari pertanggungjawaban umat manusia kepada Allah swt. Hanya keimanan dan amal perbuatan selama di dunia yang akan menolong mereka dari murka Allah. Jika seseorang menjual keimanan dengan kegemerlapan dunia, apa yang hendak mereka bawa kelak? Secara logik, bererti ia telah kehilangan bekal sejak berada di dunia sehingga saat masuk ke alam akhirat, ia tak memiliki bekal sama sekali. Di sinilah Allah swt memberikan peringatan, orang yang derhaka kepada Allah swt dan selalu sibuk dengan urusan dunia, nescaya masuk ke dalam golongan orang-orang pailit yang tak berbekal sama sekali pada hari akhir. Inilah Maksud firman Allah, (Mereka itu tidak memperoleh bahagian di Akhirat). Dalam ayat (AlIah tidak akan menyapa mereka, tidak akan memperhatikan mereka pada hari Kiamat dan tidak akan menyucikan mereka. Bagi mereka azab yang pedih) disebutkan Allah swt mengabaikan dan membiarkan mereka dalam kebingungan dan kegelisahan menanti azab yang sangat pedih.
Rujukan: 1999: 179-180 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Ayat ini menjelaskan sesungguhnya orang-orang mengganti perjanjian Allah dengan cara meninggalkannya dan mengganti wasiat Allah yang telah diwasiatkan dalam kitab yang diturunkan kepada nabi-nabi-Nya iaitu untuk mengikuti Nabi Muhammad, mengakuinya dan mengakui ajaran yang dibawanya dari Sisi Allah. Mereka juga menggantinya dengan cara bersumpah palsu yang menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah iaitu harta-harta manusia yang diamanahkan kepadanya kerana kompensasi yang bernilai rendah dari pernak-pernik dunia, maka mereka tidak akan mendapat bahagian dari kebaikan di akhirat, serta mereka tidak mendapatkan bahagian dari kenikmatan syurga dan dari apa yang telah Allah sediakan bagi ahlinya di dalam syurga itu. Juga Allah tidak akan berbicara dengan mereka, dengan pembicaraan yang menyenangkan mereka. Allah juga tidak akan bersimpati memberikan kebaikan kepada mereka, kerana kebencian Allah kepada mereka. Allah tidak akan menyucikan mereka dari kotoran dosa dan kekufuran mereka. Dan bagi mereka seksaan yang sangat menyakitkan.
Rujukan: 2001: 515-521 (Tafsir al-Tabari)