Yaasin (36) : 13 (Blok: 13-14)
Dan ceritakanlah kepada mereka satu keadaan yang ajaib mengenai kisah penduduk sebuah bandar (yang tertentu) iaitu ketika mereka didatangi Rasul-rasul (Kami),
TAFSIR 1
Allah swt memerintahkan kepada Nabi Muhammad saw untuk membuat suatu permisalan bagi kaum Quraisy yang mendustakan dalam firman-Nya (Suatu perumpamaan bagi mereka iaitu penduduk suatu negeri, ketika utusan-utusan datang kepada mereka). Ibnu Ishaq meriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a, Kaab Al-Ahbar dan Wahab bin Munabbih, negeri atau desa yang dimaksud adalah Anthakiyyah. Ketika itu, negeri tersebut diperintah seorang raja bernama Antichosbin Antichos bin Antichos. Raja tersebut seorang pemuja berhala. Allah swt pun mengutus tiga orang rasul kepadanya bernama Shadiq, Shaduq dan Syalum. Akan tetapi raja tersebut mendustakan ketiga rasul itu. Maksud ayat ((iaitu) ketika Kami mengutus kepada mereka dua orang utusan lalu mereka mendustakan keduanya) bahawa belum lagi utusan tersebut menyampaikan risalah Allah, rakyat negeri tersebut sudah terlebih dahulu mendustakan para utusan tersebut. Allah swt berfirman (Kemudian Kami kuatkan dengan (utusan) yang ketiga) Allah mengutus seorang nabi lagi untuk lebih memperkuat usaha kedua nabi sebelumnya. Ibnu Juraij meriwayatkan dari Wahab bin Sulaiman dari Syu'aib al-Jubba'i, nama dua orang nabi yang pertama Syam'um dan Yohanes sedangkan nabi ketiga Paulus. Maksud firman Allah (Sungguh kami adalah orang-orang yang diutus kepadamu) adalah kami (para nabi) merupakan utusan Tuhan yang telah menciptakan kalian dan memerintahkan kalian beribadah hanya kepada-Nya, tiada sekutu baginya. Abu Aliyah mengatakan, Qatadah bin Da'amah menyatakan, utusan yang dimaksud adalah para rasul yang diutus Isa Al-Masih a.s kepada penduduk Anthakiyyah.
Rujukan: 1999: 903 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Maksud ayat (Dan buatlah suatu perumpamaan bagi mereka iaitu penduduk suatu negeri) wahai Muhammad berikanlah perumpamaan kepada orang-orang musyrik dari kaummu dengan perumpamaan ashabul garyah. Ashabul qaryah adalah kaum yang berada di Anthakiyyah. Para ulama berbeza pendapat mengenai rasul yang diutus kepada ashabul qaryah. Sebahagian berpendapat bahawa mereka adalah utusan-utusan Isa bin Maryam. Hal senada diriwayatkan oleh Qatadah bahawa Isa bin Maryam mengutus dua orang lelaki dari kalangan hawariyyin ke Anthakiyyah iaitu sebuah kota di Romawi. Maka penduduk kota tersebut mendustakan mereka dan Kami pun menguatkan mereka berdua dengan mengutus orang yang ketiga (HR Abdul Razak, 140, 141). Sebahagian yang lain berpendapat bahawa mereka adalah rasul-rasul yang Allah utus kepada ashabul qaryah. Sebagaimana diriwayatkan dari Wahab bin Munabbah, ia berkata "Di kota Anthakiyyah terdapat seorang Firaun, ia menyembah berhala dan ahli syirik. Maka Allah pun mengutus utusannya untuk menyeru kepada mereka. Utusan-Nya berjumlah tiga orang, Shadiq, Shaduq dan Syalum. Allah memerintahkan dua orang untuk menyeru kepada mereka dan mereka mendustakannya. Kemudian Allah menguatkan dengan mengutus utusan yang ketiga. Ketika para utusan Allah menyeru Firaun dan memanggilnya untuk melaksanakan perintah Allah. la pun menolaknya dan mencela agama yang dibawa oleh Allah dan ia berkata kepada para utusan Allah "Kami bernasib malang kerana kamu jika kamu tidak berhenti menyeru kami nescaya kami akan merajam kamu dan kamu akan mendapatkan seksaaan yang pedih dari kami." (Ketika kami mengutus kepada mereka dua orang yang menyeru mereka kepada Allah, maka mereka mendustakan keduanya dan Kami menguatkannya dengan orang yang ketiga. Ketiga utusan tersebut berkata kepada ashabul qaryah, sesungguhnya kami adalah utusan yang diutus kepada kalian wahai kaum iaitu agar kalian menyerahkan segala peribadatan hanya kepada Allah seorang, tidak ada sekutu bagi-Nya dan hendaklah kalian membersihkan diri kalian dari apa yang kalian sembah iaitu tuhan-tuhan dan berhala-berhala.
Rujukan: 2001: 412-415 (Tafsir al-Tabari)