Yaasin (36) : 82 (Blok: 82-2)
Sesungguhnya keadaan kekuasaanNya apabila Ia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Ia berfirman kepada (hakikat) benda itu: " Jadilah engkau! ". Maka ia terus menjadi.
TAFSIR
Kisah Ibrahim a.s kekasih Allah masih berlanjut. Setelah sekian lama berdakwah menyeru kaumnya untuk menyembah Allah tiada kunjung menampakkan hasil, Ibrahim merasa menyerah dan tidak mampu lagi menyeru mereka. Kekejian dan konspirasi kaum Ibrahim a.s untuk mendustakan lbrahim sangat kuat meskipun mereka telah menyaksikan sendiri tanda-tanda kekuasaan Allah yang nyata. Kerana terus dicerca dan usahanya pun tidak kunjung menampakkan hasil, Ibrahim a.s akhirnya memutuskan untuk berhijrah. Ibrahim a.s meninggalkan kaumnya seraya berdoa (Sesungguhnya aku harus pergi (menghadap) kepada Tuhanku, Dia akan memberi petunjuk kepadaku. Ya Tuhanku, anugerahkanlah kepadaku yang termasuk orang yang soleh). Ayat tersebut merupakan doa Ibrahim a.s agar Allah menganugerahkan kepadanya anak-anak yang soleh sebagai ganti dari kaumnya dan keluarga yang ia tinggalkan kerana mereka telah mendustakannya. Allah menjawab doa Ibrahim dengan ayat berikutnya (Maka Kami beri khabar gembira kepadanya dengan (kelahiran) seorang anak yang sangat sabar). Anak yang dimaksud dalam ayat tersebut adalah Nabi Ismail a.s, yang mana beliau merupakan anak pertama yang dianugerahkan Allah kepada Nabi Ibrahim a.s. Usia Ismail a.s lebih tua daripada Ishaq a.s. Allah melanjutkan kisah Ibrahim a.s pada ayat selanjutnya (Maka ketika anak itu sampai (pada umur) sanggup berusaha bersamanya) Ayat tersebut bermakna bahawa Ismail a.s telah mencapai usia akhir baligh. Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a, Mujahid, Ikrimah, Said bin Jubair, Atha Al-Khurasani dan Zaid bin Aslam serta beberapa ahli tafsir lainnya bahawa yang dimaksud dengan firman Allah (Maka ketika anak itu sampai (pada umur) sanggup berusaha bersamanya) adalah Nabi Ismail a.s telah tumbuh sebagai seorang pemuda dewasa dan mampu melakukan apa yang dilakukan oleh ayahnya seperti berusaha dan bekerja mencari nafkah. Nabi Ibrahim memberitahukan hal tersebut kepada anaknya dengan tujuan agar beban yang dipikul oleh Ismail a.s nantinya terasa lebih ringan dan azam yang ia miliki semakin kuat serta semakin kecil rasanya cubaan yang ia hadapi dalam melaksanakan perintah Allah dan berbakti kepada ayahnya. Kerana itu, Ismail a.s mengatakan kepada Ayahnya ((lsmail) menjawab 'Wahai ayahku! Lakukanlah apa yang diperintahkan (Allah) kepadamu). Ayat tersebut bermakna bahawa Ismail a.s mempersilakan ayahnya untuk melaksanakan apa pun yang diperintahkan Allah kepadanya iaitu menyembelih dirinya. Kemudian Ismail a.s melanjutkan (lnsya Allah engkau akan mendapatiku termasuk orang yang sabar). Makna dari ayat tersebut adalah bahawa Ismail akan bersabar dan hanya mengharapkan balasan dari Allah swt.
Rujukan: 1999: 920 (Tafsir Ibn Katsir)