Az-Zukhruf (43) : 19
وَجَعَلُوا الْمَلَائِكَةَ الَّذِينَ هُمْ عِبَادُ الرَّحْمَنِ إِنَاثًا أَشَهِدُوا خَلْقَهُمْ سَتُكْتَبُ شَهَادَتُهُمْ وَيُسْأَلُونَ
Dan mereka pula menyifatkan malaikat - yang juga menjadi hamba-hamba Allah Yang Maha Pemurah itu - jenis perempuan. Adakah mereka menyaksikan kejadian malaikat itu? Akan dituliskan kata-kata mereka (yang dusta itu), dan mereka akan ditanya kelak (serta akan menerima balasannya).
TAFSIR 1
Maksud firman Allah swt (Dan mereka menjadikan malaikat-malaikat hamba-hamba (Allah) Yang Maha Pengasih itu sebagai jenis perempuan) iaitu mereka meyakini hal demikian. Maka Allah swt kemudian mengingkari keyakinan mereka tersebut dengan firman-Nya (Apakah mereka menyaksikan penciptaan (malaikat-malaikat itu) maksudnya apakah mereka menyaksikan bahawa Allah menciptakan para malaikat itu sebagai perempuan? Kelak akan dituliskan kesaksian mereka iaitu terhadap anggapan mereka tersebut. (Dan akan dimintakan pertanggungjawaban) iaitu tentang hal tersebut pada hari Kiamat nanti. Hal ini merupakan ancaman yang berat dan peringatan yang tegas.
Rujukan: 1999: 986 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Allah swt telah menjelaskan dalam ayat ini bahawa kaum musyrik telah mendustakan Allah swt dengan menjadikan dan mengatakan bahawa malaikat sebagai seorang perempuan bahkan disebut sebagai anak perempuan Allah. Padahal dusta yang mereka katakan itu adalah sebagai kebodohan mereka dan ketidaktahuan mereka terhadap kebenaran. Bahkan mereka menjadikan perkataan mereka yang dusta dan batil itu sebagai cara mendapatkan wang. Dan apakah mereka menyaksikan penciptaan malaikat sehingga mereka berani mengatakan perkataan dusta seperti itu dengan mengatakan bahawa malaikat seorang perempuan? Kemudian Allah swt menyebutkan dalam ayat ini bahawa kelak apa yang mereka katakan itu akan dicatat dan dipersaksikan untuk dimintai pertanggungjawabannya di akhirat. Dan pada hari itu Allah swt akan menunjukkan kebenaran yang sebenar-benarnya. Sedangkan mereka tidak akan pernah menemukan jalan untuk lari pada hari itu. ltulah sebahagian dusta yang dikatakan oleh orang musyrik, yang kelak akan mendapatkan balasan-Nya pada hari Kiamat serta tidak akan ada penolong bagi mereka.
Rujukan: 2001: 566-567 (Tafsir al-Tabari)