Al-Hujuraat (49) : 2 (Blok: 1-2)
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengangkat suara kamu melebihi suara Nabi, dan janganlah kamu menyaringkan suara (dengan lantang) semasa bercakap dengannya sebagaimana setengah kamu menyaringkan suaranya semasa bercakap dengan setengahnya yang lain. (Larangan yang demikian) supaya amal-amal kamu tidak hapus pahalanya, sedang kamu tidak menyedarinya.
TAFSIR
Dalam ayat ini Allah menerangkan kepada orang-orang mukmin tentang tata cara dan sopan santun kepada rasul-Nya. Allah juga menunjukkan bagaimana rasa hormat yang harus mereka berikan ketika berinteraksi bersama beliau. Ayat ini mengandungi perintah mengikuti dan meneladani perilaku Rasulullah dalam segala perkara. Ali bin Abu Thalhah meriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a bahawa maksud firman Allah (Janganlah kamu mendahului Allah dan rasul-Nya) bahawa kaum mukmin dilarang berbicara tentang sesuatu hal yang melencong dari Al-Quran dan sunah. Firman Allah (Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu meninggikan suaramu melebihi suara Nabi) mengandungi ajaran tata cara berperilaku di hadapan Rasulullah iaitu larangan bagi orang-orang mukmin untuk bersuara melebihi suara beliau. Ayat (Nanti (pahala) segala amalmu bisa terhapus sedangkan kamu tidak menyedari) bahawa Allah melarang kaum muslimin untuk meninggikan suara mereka di atas suara Rasulullah. Hal itu kerana bisa menyebabkan kemarahan beliau. Jika beliau marah, Allah juga akan marah. Amal orang yang dimarahi-Nya akan menjadi sia-sia sementara dia tidak mengetahui hal itu. Allah mengajarkan kepada kita untuk merendahkan suara jika berbicara di hadapan Rasulullah. Demikianlah hal yang disukai Allah.
Rujukan: 1999: 851 (Tafsir Ibn Katsir)