Al-Waaqiah (56) : 25 (Blok: 25-26)
Mereka tidak akan mendengar dalam Syurga itu perkataan yang sia-sia dan tiada pula sesuatu yang menyebabkan dosa; -
TAFSIR 1
Allah berfirman (Di sana mereka tidak mendengar percakapan yang sia-sia mahupun yang menimbulkan dosa tetapi mereka mendengar ucapan salam). Di syurga mereka tidak mendengar perkataan yang sia-sia, yang tidak mempunyai makna atau perkataan kotor. Sebagaimana disebutkan dalam ayat yang lain, (Di sana (kamu) tidak mendengar perkataan yang tidak berguna). (QS Al-Gasyiyah, 88: 11). Yakni perkataan yang sia-sia. Firman Allah (Mahupun yang menimbulkan dosa) bererti perkataan yang mengandungi keburukan. Sedangkan ayat "Tetapi mereka mendengar ucapan salam," merupakan ucapan selamat yang diucapkan satu sama lain. Senada sebagaimana firman Allah lainnya (Ucapan penghormatan mereka dalam (syurga) itu ialah salam) (QS Ibrahim, 14: 23) Perkataan mereka bukanlah perkataan yang mendatangkan dosa dan sia-sia.
Rujukan: 1999: 893 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Allah berfirman (Di sana mereka tidak mendengar percakapan yang sia-sia mahupun yang menimbulkan dosa). Dalam ayat ini, Allah menggambarkan mengenai para penghuni syurga iaitu mereka tidak mendengar di dalam syurga perkataan-perkataan yang salah atau batil dan tidak juga mendengar perkataan yang dapat menimbulkan dosa bagi mereka. Sebahagian ulama dari kalangan Bashrah berpendapat mengenai ayat ini bahawa maksudnya adalah perkataan yang dapat menimbulkan dosa tidak diperdengarkan, akan tetapi yang diperdengarkan bagi mereka adalah permainan yang penuh keceriaan. Maksud ayat (Tetapi mereka mendengar ucapan salam) mereka para penghuni syurga tidak mendengar sesuatu kecuali perkataan salam.
Rujukan: 2001: 360 (Tafsir al-Tabari)