Al-Munaafiquun (63) : 6 (Blok: 5-6)
(Tidak ada faedahnya) kepada mereka, sama ada engkau meminta ampun untuk mereka atau engkau tidak meminta ampun, Allah tidak sekali-kali akan mengampunkan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang fasik.
TAFSIR 1
Allah memberitahukan ciri-ciri orang munafik bahawa mereka (Dan apabila dikatakan kepada mereka, "Marilah (beriman) agar Rasulullah memohonkan keampunan bagimu " mereka membuang muka) Maksud ayat ini bahawa mereka berpaling dan menentang apa yang dikatakan kepada mereka seraya menyombongkan diri dan menghina apa yang telah diberitahukan kepada mereka itu. Kerana itu Allah berfirman (Dan engkau lihat mereka berpaling dengan menyombongkan diri). Kemudian Allah membalas semua itu dengan firman-Nya dalam ayat enam. Qatadah dan As-Saddi berkata, "Ayat ini turun kerana Abdullah bin Ubay. Bahawasannya seorang anak muda yang termasuk dari sanak keluarga Abdullah menghadap Rasulullah dan lantas menceritakan sesuatu yang sangat penting tentang Abdullah bin Ubay. Rasulullah lantas memanggil Abdullah bin Ubay dan Abdullah pun bersumpah atas nama Allah bahawa dirinya tidak berbuat seperti yang telah dituduhkan. Orang-orang Anshar pun kemudian menemui pemuda itu seraya mencela dan mengecam dirinya. Maka Allah menurunkan sebuah ayat yang berkaitan dengan apa yang telah mereka dengar, yang di dalamnya terdapat sebuah perkataan tentang musuh Allah, "Seandainya ia mendatangi Rasulullah maka ia membuang muka" yakni tidak mengakui perbuatannya.
Rujukan: 1999: 931 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Penjelasan ayat kelima adalah jika dikatakan kepada orang-orang munafik, "Marilah datang kepada Rasulullah agar beliau memintakan ampun bagi kalian." Mereka menggelengkan kepala sebagai tanda penghinaan kepada permohonan ampun yang dilakukan oleh Rasulullah saw. Setelah itu, engkau melihat mereka berpaling dari ajakan tersebut, hal itu dapat dilihat dari wajah-wajah mereka. ltu adalah salah satu bukti kesombongan mereka. Iaitu mereka sombong untuk menghadap Rasulullah saw agar beliau memintakan ampun bagi mereka. Orang yang dimaksud ayat ini adalah Abdullah bin Ubay bin Salul. (Sama saja bagi mereka, engkau (Muhammad) mohonkan ampunan untuk mereka atau tidak engkau mohonkan ampunan bagi mereka). Maksudnya Allah mengatakan kepada Nabi saw "Sama saja engkau memohonkan ampunan atas dosa-dosa mereka atau pun tidak sebab Allah tidak akan mengampuni dosa-dosa mereka bahkan akan Allah menyeksa mereka." Maksud ayat (Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik) Allah tidak akan memberikan keimanan kepada kaum yang berbohong kepada-Nya, tidak pula kepada orang-orang yang kafir kepada-Nya dan tidak pula bagi orang-orang tidak taat kepada-Nya.
Rujukan: 2001: 144 (Tafsir al-Tabari)