An-Nisaa’ (4) : 32
Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurnianya. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
ASBAB 1
Diriwayatkan Hakim dari Ummu Salamah bahawasanya kaum lelaki turut berperang sedangkan kaum perempuan tidak. Oleh kerana itu menurutnya, hendaklah perempuan mendapat setengah dari harta warisan sebab orang yang berperang akan mendapat bahagian yang lebih besar dari ganimah (harta rampasan). Maka dari itu, turunlah ayat ini yang menjelaskan agar masing-masing redha terhadap bahagiannya. Selain itu turun pula surah Al-Ahzab, 33:35. Dalam riwayat lain, Ibnu Abbas berkata "Pernah seorang perempuan mendatangi Rasulullah saw dan berkata 'Wahai nabi Allah, seorang lelaki mendapatkan dua bahagian seorang perempuan dan kesaksian seorang lelaki juga sama dengan kesaksian dua orang perempuan, apakah kami dalam beramal juga akan dianggap demikian? Ertinya satu kebaikan yang kami lakukan sama dengan setengah dari pahala lelaki?"' Lalu Allah menurunkan ayat ini.
Rujukan: Lubabun Nuqul Fi Asbabun Nuzul: Riwayat Turunnya Ayat-ayat Al-Qur’an. (Imam Al-Hafizh Jalaluddin Abdurrahman As Sayuti)