Al-Jin (72) : 1
قُلْ أُوحِيَ إِلَيَّ أَنَّهُ اسْتَمَعَ نَفَرٌ مِنَ الْجِنِّ فَقَالُوا إِنَّا سَمِعْنَا قُرْآنًا عَجَبًا
Katakanlah (wahai Muhammad): "Telah diwahyukan kepadaku, bahawa sesungguhnya: satu rombongan jin telah mendengar (Al-Quran yang aku bacakan), lalu mereka (menyampaikan hal itu kepada kaumnya dengan) berkata: `Sesungguhnya kami telah mendengar Al-Quran (sebuah Kitab Suci) yang susunannya dan kandungannya sungguh menakjubkan!
TAFSIR 1
Allah berfirman seraya memerintahkan kepada rasul-Nya untuk memberitahukan kepada kaumnya bahawa jin mendengarkan Al-Quran dan mengimani, membenarkan serta mengikutinya. Sehingga Allah swt berfirman, (Katakanlah (Muhammad) 'Telah diwahyukan kepadaku bahawa sekumpulan jin telah mendengarkan (bacaan) lalu mereka berkata, 'Kami telah mendengarkan bacaan yang menakjubkan (Al-Quran) (yang) memberi petunjuk kepada jalan yang benar) maksudnya adalah pada keselamatan.
Rujukan: 1999: 958-959 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
(Katakanlah (Muhammad), "Telah diwahyukan kepadaku bahawa sekumpulan jin telah mendengarkan (bacaan) " lalu mereka berkata, "Kami telah mendengarkan bacaan yang menakjubkan (Al-Quran)). Allah memerintahkan kepada rasul-Nya agar dia memberitahukan kepada sahabat-sahabatnya, kisah-kisah jin yang diwahyukan kepadanya kerana pengetahuan mengenai kisah-kisah itu mengandungi faedah dan manfaat bagi manusia di antaranya ialah 1) Agar mereka mengetahui bahawa Nabi saw di samping diutus kepada manusia juga diutus kepada jin. 2) Agar mereka mengetahui bahawa jin itu mendengar pembicaraan kita dan memahami bahasa kita. 3) Agar mereka mengetahui bahawa jin itu dibebani hukum seperti halnya manusia. 4) Agar mereka mengetahui bahawa jin yang beriman itu mengajak jin lain dari kabilahnya untuk beriman. 5) Agar kaum Quraisy mengetahui bahawa jin itu ketika mendengar Al-Qur'an, ia mengetahui kemukjizatan dan beriman kepadanya. Pada zahirnya ayat ini menunjukkan bahawa Nabi saw mengetahui para jin yang mendengarkan wahyu yang diturunkan kepadanya tetapi tidak mengetahui melalui kesaksian mata.
Rujukan: 2001: 358-359 (Tafsir al-Tabari)