Al-Insyiqaaq (84) : 2 (Blok: 1-4)
Serta mematuhi perintah Tuhannya, dan sudah semestinya ia patuh;
TAFSIR 1
Allah berfirman (Apabila langit terbelah) iaitu terjadi pada hari Kiamat. Maksud dari firman Allah (Dan patuh kepada Tuhannya) adalah mendengar Tuhannya dan mematuhi perintah-Nya sehingga membelah diri pada hari Kiamat. Maksud dari firman Allah (Dan sudah semestinya patuh) adalah sudah menjadi keharusan bagi langit untuk mentaati perintah Allah. Hal itu kerana Allah adalah Zat yang Maha Besar yang tidak dapat dihalangi dan dikalahkan. Dia adalah Zat yang menguasai dan menundukkan segala sesuatu. Allah berfirman (Dan apabila Bumi diratakan) iaitu diratakan dan dibentangkan. Maksud dari firman Allah (Dan memuntahkan apa yang ada di dalamnya dan menjadi kosong) adalah memuntahkan segala sesuatu yang ada di dalam perutnya termasuk orang-orang mati di dalam kubur. Demikian dikatakan oleh Mujahid, Said dan Qatadah.
Rujukan: 1999: 984 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Allah swt menjelaskan dalam ayat-ayat ini tentang penyerahan catatan amal perbuatan manusia di akhirat iaitu setelah langit telah terbelah dan Bumi diratakan serta memuntahkan apa yang dikandungnya sehingga kosong. Dan pada hari itulah manusia akan mengetahui akibat dari amal perbuatannya. Dan setiap amal perbuatan akan menghantarkan pelakunya kepada perolehan balasan yang sepadan. Siapa yang amal perbuatannya dapat menyelamatkan dirinya dari murka Allah, pasti akan mendapatkan keredhaan-Nya sedangkan siapa yang amal perbuatannya menyebabkan murka Allah swt maka akan dibinasakan. Penyerahan catatan amal pada hari itu terbagi kepada dua golongan, ada yang diberikan catatannya itu dari sebelah kanan dan ada pula yang diberikannya dari belakang. Adapun orang yang diberikan catatan perbuatannya dari sebelah kanan, dia akan menjalani pemeriksaan dengan mudah dan akan diampuni perbuatan buruknya serta akan diberikan balasan atas perbuatan baiknya. Sedangkan orang yang diberikan catatan perbuatannya dari belakang, itu mengandung erti bahawa dia menerima catatan itu dengan tangan kiri melalui belakang punggungnya. Dan ini sebagai pertanda bahawa hal itu tidak disenangi oleh mereka kerana ia mengetahui bahawa isi catatannya hanyalah keburukan dan kehinaan. Kemudian, dia akan dimasukan ke dalam api neraka. Begitulah Allah swt menggambarkan kepada kita tanda-tanda kekuasaan-Nya agar kita mengambil pelajaran.
Rujukan: 2001: 580-586 (Tafsir al-Tabari)