Al-Qadr (97) : 4 (Blok: 1-5)
Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut);
TAFSIR 1
Allah swt memberitahukan bahawa Dia telah menurunkan Al-Quran pada malam lailatul qadar. Lailatul qadar merupakan malam yang penuh berkah seperti Allah katakan dalam firman-Nya (Sesungguhnya Kami menurunkannya pada suatu malam yang diberkahi) (QS Ad-Dukhan, 44: 3) iaitu malam lailatul qadar. Malam yang ada di bulan Ramadhan. Ibnu Abbas dan ulama lainnya berkata, "Allah swt menurunkan Al-Quran secara keseluruhan dari Lauh Mahfuz menuju Baitul Izzah yang berada di langit dunia lalu menurunkannya secara berangsur-angsur sesuai dengan keadaan dalam dua puluh tiga tahun kepada Rasulullah. Kemudian, Allah swt mengagungkan malam lailatul qadar yang telah diistimewakan-Nya dengan menurunkan Al-Quran pada malam itu dengan mengatakan (Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan). (QS Al-Qadar, 97: 3) Imam Ahmad meriwayatkan dari Abu Hurairah bahawa ketika datang bulan Ramadhan, Rasulullah saw bersabda, "Sungguh telah datang kepada kalian bulan Ramadhan, suatu bulan yang penuh berkah, yang puasanya telah Allah wajibkan kepada kalian, di dalamnya dibukalah pintu-pintu syurga dan ditutup pulalah pintu-pintu neraka dan syaitan-syaitan pun dibelenggu dalam bulan itu. Di dalamnya terdapat suatu malam yang lebih baik daripada seribu malam. Barang siapa menghormati kebaikan malam itu maka sungguh ia adalah orang yang mulia."
Rujukan: 1999: 997-998 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Dalam ayat ini Allah swt menjelaskan tentang suatu malam yang penuh kemuliaan, malam diturunkannya Al-Quran. Malam itu adalah malam lailatul qadar. Selanjutnya, Allah menjelaskan kadar keutamaan malam ini melalui firman-Nya (Malam kemuliaan itu lebih baik dari pada seribu bulan) Menurut Imam At-Thabari maksudnya bahawa amalan yang dikerjakan pada malam lailatul qadar adalah lebih baik dari amalan yang dikerjakan pada seribu bulan tanpa malam lailatul qadar. Kemudian, Allah menjelaskan berbagai keistimewaan malam yang diberkahi itu melalui firman-Nya (Pada malam itu turun para malaikat dan Ruh (Jibril) dengan izin Tuhannya untuk mengatur semua urusan) Maksudnya adalah para malaikat turun dengan perintah dan izin Allah swt untuk mengatur segala urusan dan membawa ketetapan Allah swt pada tahun itu bagi para hamba-Nya seperti ketetapan rezeki, kematian dan yang lainnya. Selanjutnya, Allah swt menyebutkan bahawa malam kemuliaan itu dipenuhi dengan keselamatan. Iaitu, keselamatan dari setiap kejahatan mulai dari permulaan malam itu sampai terbit fajar. Demikianlah Allah swt menjelaskan tentang kemuliaan malam lailatul qadar yang penuh dengan kesejahteraan dan keberkahan, yang tidak dimiliki oleh malam lainnya.
Rujukan: 2001: 80-83, 87-91 (Tafsir al-Tabari)