Al-Ikhlaas (112) : 1 (Blok: 1-4)
Katakanlah (wahai Muhammad): "(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa;
TAFSIR 1
Imam Ahmad meriwayatkan dari Abi bin Kaab bahawa orang-orang musyrik berkata kepada Nabi saw, apakah Tuhannya satu nasab (keturunan) dengan mereka. Allah swt lantas menurunkan surah Al-Ikhlas. Hadis ini diriwayatkan pula oleh Tirmizi dan Ibnu Jarir. Mengenai penyebab turunnya surah ini, Ikrimah berkata "Ketika kaum Yahudi berkata, 'Kami menyembah Uzair anak Allah' dan kaum Nasrani berkata, 'Kami menyembah Al-Masih anak Allah' serta kaum Majusi berkata, 'Kami menyembah matahari dan rembulan' dan orang-orang musyrik berkata. 'Kami menyembah berhala' maka Allah swt menurunkan wahyu kepada rasuI-Nya, (Katakanlah (Muhammad), 'Dialah Allah, Yang Maha Esa) Maksudnya, Allah swt adalah Zat yang satu, tunggal, tidak ada yang menyamai-Nya, tidak memiliki menteri, tidak ada yang membandingi-Nya dan tidak ada yang menyerupai-Nya.
Rujukan: 2001: 446-459 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Allah swt menjelaskan dalam ayat ini tentang Keesaan-Nya, bahawa Dia adalah Tuhan Yang Satu. Tidak beranak dan tidak pula diperanakkan serta tidak ada satu pun di dunia ini yang setara dengan-Nya. Disebutkan bahawa ayat ini turun sebagai jawapan terhadap orang musyrik yang mempertanyakan nasab (keturunan) Allah swt. Diriwayatkan dari Ubay bin Kaab, dia berkata, "Kaum musyrik bertanya kepada Nabi saw, 'Katakan kepada kami keturunan Allah swt' Maka Allah swt menurunkan ayat ini." Namun sebahagian ahli tafsir berpendapat bahawa ayat ini turun sebagai jawapan terhadap orang Yahudi ketika mereka bertanya kepada Rasulullah saw, "Apakah Allah swt adalah Tuhan yang menciptakan makhluk? Lalu siapakah yang menciptakan Allah swt?" Lalu Nabi saw membacakan ayat ini kepada mereka. Tafsir ayat ini menurut Imam At-Thabari ialah, "Katakanlah wahai Muhammad kepada mereka yang bertanya kepadamu tentang keturunan Tuhanmu, sifat-Nya dan siapa yang menciptakan-Nya, Tuhan yang kalian pertanyakan kepadaku, Dia adalah Allah yang hanya kepada-Nya segala sesuatu menyembah. Tidak ada yang patut disembah selain Dia."
Rujukan: 2001: 727-730 (Tafsir al-Tabari)