Al-Ma'idah (5) : 96
Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut, sebagai bekalan bagi kamu (untuk dinikmati kelazatannya) dan juga bagi orang-orang yang dalam pelayaran; tetapi diharamkan atas kamu memburu binatang buruan darat selama kamu sedang berihram. Oleh itu, bertaqwalah kepada Allah, yang kepadaNya kamu akan dihimpunkan.
HADISNYA
Hadis riwayat Jabir bin Abdullah r.a, dia berkata Rasulullah saw mengutus kami dan mengangkat Abu Ubaidah r.a sebagai pemimpin untuk menunggu kafilah dagang Quraisy. Beliau membekali kami dengan sekarung kurma kerana tidak menemukan bekal lain lalu Abu Ubaidah r.a pun memberikan kepada masing-masing kami sebuah kurma. Selanjutnya kami menuju tepi laut, di sana nampaklah oleh kami seperti bukit pasir yang besar sekali. Lalu kami pun segera mendatanginya dan ternyata ia adalah seekor binatang laut yang disebut ikan paus. Abu Ubaidah r.a berkata "Ikan ini sudah jadi bangkai." Kemudian dia berkata lagi "Tidak mengapa, kita adalah utusan Rasulullah saw di jalan Allah sedangkan kamu sekalian dalam keadaan terpaksa, maka makanlah!" Kami yang berjumlah 300 orang lalu menetap di sana selama sebulan sehingga kami pun menjadi gemuk. Dia berkata "Aku telah menyaksikan sendiri, kami menampung minyak ikan yang keluar dari lubang matanya dengan tempat air serta memotong-motong dagingnya sebesar kijang atau lembu hutan." Lalu Abu Ubaidah r.a. mengambil 13 orang di antara kami diperintahkan khusus untuk melubangi matanya dan ia juga mengambil salah satu tulang rusuk ikan itu. Kemudian ia membebani unta yang paling besar yang ada pada kami untuk mengangkutnya dan ia pun berjalan di bawahnya serta kami dapat berbekal dengan dagingnya yang telah direbus setengah masak. Ketika tiba di Madinah, kami segera menemui Rasulullah saw untuk menceritakan kejadian itu kepada beliau. Lalu beliau menjawab "ltu adalah rezeki yang diberikan Allah kepada kamu sekalian. Apakah masih ada sisa dagingnya pada kamu sekalian untuk diberikan kepada kami?" Lalu, kami pun mengirimkan sebahagian dagingnya kepada Rasulullah saw kemudian beliau memakannya.
No Hadis: 3576
Rujukan: Sahih Muslim Jilid 4 (Abul Husain Muslim ibni al-Hajaj Qushayri al-Nisaburi)