Al-An'am (6) : 136
Dan mereka (orang-orang musyrik) memperuntukkan dari hasil tanaman dan binatang-binatang ternak yang diciptakan oleh Allah itu, sebahagian bagi Allah (dan sebahagian lagi untuk berhala-berhala mereka), lalu mereka berkata: Ini untuk Allah - menurut anggapan mereka - dan ini untuk berhala-berhala kami." Kemudian apa yang telah ditentukan untuk berhala-berhala mereka, maka ia tidak sampai kepada Allah (kerana mereka tidak membelanjakannya pada jalan Allah), dan apa yang telah ditentukan untuk Allah, sampai pula kepada berhala-berhala mereka (kerana mereka membelanjakannya pada jalan itu). Amatlah jahatnya apa yang mereka hukumkan itu.
TAFSIR 1
Ali bin Abu Thalhah dan Al-Aufi meriwayatkan bahawa Ibnu Abbas menerangkan, "Ayat ini ditafsirkan bahawa ketika memiliki sebidang kebun yang subur dengan aneka tanaman dan buah, musuh-musuh Allah itu memilah-milahnya menjadi ada bahagian untuk Allah dan ada bahagian untuk berhala mereka." Tanaman dan buah yang disiapkan untuk berhala ini kemudian disisihkan dan ditaksir jumlahnya. Setelah itu, (sebagai bentuk perawatan) mereka selalu meletakkan kembali tanaman atau buah yang jatuh ke tempatnya dengan hati-hati. Begitu pula apabila bahagian yang sudah disiapkan untuk Allah lebih dahulu mendapat aliran air, bahagian ini mereka gabungkan dengan bahagian berhala yang sudah ada. Anehnya, jika buah yang menjadi bahagian Allah jatuh ke tanah, mereka malah memasukkannya ke bahagian berhala, buah yang jatuh ini mereka sebut untung. Mereka tidak meletakkannya kembali ke tempat asal. yang seharusnya diletakkan kembali pada bahagian Allah. Kecurangan ini pun berlaku ketika kebetulan air yang menjadi bahagian Allah lebih dahulu mengairi bahagian berhala. Mereka membiarkan air itu terus mengalir tanpa mengalihkannya ke bahagian Allah. Di samping itu, mereka ciptakan pula tradisi Bahirah, Saibah, Washilah dan Ham di dalam kepemilikan harta (khususnya haiwan ternak). Haiwan ternak yang termasuk ke dalam empat jenis ini mereka haramkan untuk dimakan kerana telah diperuntukkan secara khusus untuk berhala. Menurut mereka, semua itu dalam rangka mendekatkan diri kepada Allah.
Rujukan: 1999: 361 (Tafsir Ibn Katsir)
TAFSIR 2
Maksud ayat ini adalah dan mereka menjadikan antara tuhan mereka itu berhala dan patung, bersama Allah. (Yang telah diciptakan), ertinya yang telah diciptakan dari tanaman dan binatang ternak. (Bahagian) iaitu jatah. Para ahli takwil berbeza pendapat mengenai besar bahagian yang mereka peruntukkan bagi Allah dan bagi berhala dan syaitan. Sebahagian ahli takwil berpendapat, bahawa yang diperuntukkan berupa tanaman dan ternakan maka mereka memisahkan sebahagian untuk berhala dan sebahagian untuk Allah. Sebahagian lain ahli takwil berpendapat, bahagian yang mereka peruntukkan bagi Allah, sebenarnya untuk dipersembahkan kepada berhala-berhala. Mereka tidak mahu memakan sembelihan yang diperuntukkan bagi Allah, sebelum mereka menyebut nama tuhan-tuhan mereka. Sedangkan sembelihan yang diperuntukkan bagi berhala-berhala mereka, mereka memakannya meskipun tidak menyebutkan nama Allah. Penulis berpendapat bahawa pentafsiran yang tepat adalah apa yang dikatakan Ibnu Abbas dan yang lainnya (pendapat pertama). Kerana Allah swt memberitakan, bahawa mereka sudah menentukan bahagian dari setiap tanaman dan ternak. Mereka berkata, bahagian ini untuk Allah, begitu pun yang dilakukan mereka terhadap berhala-berhala. Pentafsiran ini merupakan hasil kesepakatan ahlil takwil. Maksud ayat (Sangat buruk ketetapan mereka itu) merupakan berita dari Allah swt tentang perbuatan orang-orang musyrik tersebut. Sangat buruk keputusan mereka itu.
Rujukan: 2001: 568-573 (Tafsir al-Tabari)