Memahami ilmu Al-Quran memerlukan guru yang bersesuaian, yang kadang-kala sukar untuk dirujuk pada bila-bila masa dan di mana kita berada. Walau bagaimanapun, teknologi komputer dapat menyokong para pelajar untuk memahami Al-Quran dengan mudah, terutamanya melalui aplikasi yang berasaskan web dan mudah alih (mobile). Pelbagai aplikasi untuk mempelajari Al-Quran telah dibangunkan, namun aplikasi pencarian ayat Al-Quran yang berasaskan tema masih kurang dibangunkan. Oleh itu, projek ini membangunkan aplikasi dengan menggunakan pendekatan ontologi bagi mewakilkan konsep ayat-ayat Al-Quran yang dikelas dan disusun mengikut tema tertentu. Tema-tema tersebut telahpun dibangunkan oleh pihak pakar Al-Quran. Oleh itu, aplikasi ini menyediakan ayat-ayat Al-Quran berpandukan pengkelasan tematik yang boleh dicapai melalui fungsi carian yang direka berasaskan teknologi semantik.
Model Ontologi Al-Quran adalah seperti berikut:

Setiap kelas dan sub kelas mewakili tema dan sub tema mengikut hiraki yang telah ditetapkan. Setiap hiraki kelas dan sub kelas menjelaskan maksud konsep yang dijelaskan melalui ayat-ayat yang relevan dengan tema tersebut. Ayat-ayat tersebut ditentukan melalui rujukan nama surah dan nombor ayat.
Aplikasi yang dinamakan QURANOLOGI ini dapat membantu pengguna (pelajar) mencapai ayat-ayat Al-Quran yang diklasifikasikan mengikut tema agar dapat memudahkan mereka mempelajari dan memahami kandungan Al-Quran. Terdapat 3 Fasa dalam pembangunan aplikasi ini:
Fasa 1: Membina Ontologi Al-Quran – Membina ontologi Al-Quran berasaskan model yang telah dibangunkan pada penyelidikan sebelum ini.
Fasa 2: Membangun Aplikasi Ontologi Al-Quran – Merekabentuk dan membangun aplikasi ontologi Al-Quran (QURANOLOGY)
Fasa 3: Penilaian – Membuat penilaian terhadap kebolehgunaan QURANOLOGY terhadap kefahaman ayat-ayat Al-Quran
Kesimpulannya, pembinaan ontologi Al-Quran berasaskan tema menyumbang kepada koleksi sumber data ontologi yang boleh dikongsi bersama penyelidik lain untuk kajian selanjutnya. Di samping itu, ia juga dapat menyumbang kepada bantuan pengajaran dan pembelajaran tadabbur Al-Quran kepada pelajar samada melalui guru atau secara kendiri dengan sokongan aplikasi ontologi Al-Quran (QURANOLOGY).