Ontologi Dan Semantik Web

Kaedah tradisional untuk melihat sumber data atau maklumat adalah melalui skema pangkalan data seni bina tiga tahap: luaran, konseptual, dan dalaman. Berdasarkan perspektif tiga tahap, integrasi data yang sesuai dengan spesifikasi keperluan perniagaan dapat dimodelkan. Biasanya, integrasi data dalam ‘gudang data’ (GD) adalah berdasarkan skema global yang menjadi model secara formal dikenali sebagai model dimensi atau multidimensi. Walau bagaimanapun, model dimensi dibina untuk tidak mengubahsuai data, melainkan bertujuan mengumpulkan data untuk dianalisis bagi mengeluarkan laporan untuk kegunaan pembuat keputusan. Pendekatan pemodelan data semasa didapati tidak mampu untuk menangkap konsep, definisi dan hubungan ‘pengagregatan’ data dengan baik yang mengakibatkan pengertian (semantik) data sebenar tidak dapat ditentukan oleh pangkalan data. Di sinilah ontologi menjadi penyelesaian yang sesuai bagi menangkap aktiviti dan spesifikasi data secara sistematik. Dalam aplikasi web, ontologi menyediakan cara untuk mengambil dan mengekstrak maklumat berdasarkan kandungan sebenar laman web dan membantu menavigasi ruang maklumat berdasarkan konsep semantik.

Konsep Ontologi

Dalam bidang teknologi maklumat, ontologi digunakan untuk menentukan makna (semantik) bagi sesebuah ‘kosa kata’ atau ‘tesaurus’. Keupayaan untuk mendefinisi semantik secara sistematik yang ‘eksplisit’ dan ‘ekspresif’ dalam aplikasi komputer akan memberikan lebih banyak pemahaman, bukan hanya kepada manusia tetapi juga dapat ditafsirkan oleh mesin. Oleh itu, ontologi digunakan sebagai perwakilan rasmi sesebuah data atau maklumat di dalam sesuatu sistem maklumat. Terdapat beberapa definisi ontologi yang diberikan untuk kefahaman mengenai ontologi di dunia nyata. Meriam-Webster Online mendefinisikan ontologi sebagai: ‘cabang metafizik yang berkaitan dengan sifat dan hubungan makhluk’; dan ‘teori tertentu mengenai sifat wujud atau jenis kewujudan’. Walau bagaimanapun, definisi paling berpengaruh yang menggambarkan penggunaan ontologi dalam teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) diberikan oleh Gruber (1993) sebagai ‘Spesifikasi formal dan eksplisit bagi konsep yang dikongsi bersama’.

Konseptualisasi merujuk kepada model abstrak dari fenomena di dunia nyata, dan yang mengenal pasti konsep yang relevan dari fenomena tersebut. Secara eksplisit ia bermaksud bahawa jenis konsep dan kekangan yang berkaitan dengannya ditentukan secara jelas. Formal merujuk kepada fakta bahawa ontologi boleh dibaca oleh mesin, dan dikongsi pula bermaksud ontologi tersebut hasil dari permuafakatan antara beberapa sumber data. Dalam perkongsian pengetahuan, ontologi ditentukan oleh bentuk definisi ‘kosa kata’ yang diwakili oleh jenis hiraki, kelas dan hubungan sub-kelasnya. Sesungguhnya, skema pangkalan data relasional dapat dilihat sebagai ontologi dengan menentukan hubungan dan kekangan mereka di antara pangkalan data yang dikongsi bersama.

Secara umum, ontologi boleh dilihat dalam pelbagai bentuk dan penekanan pada istilah perbendaharaan kata dan spesifikasi tentang maknanya. Ini merangkumi definisi dan spesifikasi konsep yang saling berkaitan dalam domain dan batasan yang mempengaruhi kemungkinan penafsiran istilah. Guarino (1998) mendefinisikan ontologi sebagai ‘Satu set logik aksiom yang dirancang untuk maksud ‘kosa kata’ yang dimaksudkan’. Ontologi didefinisikan oleh pencirian logik melalui aksiom, di mana aksiom disebut sebagai fakta yang tidak terbukti dan dianggap sebagai bukti sendiri. Jarrar (2005) mendefinisikan ontologi sebagai pemahaman bersama (semantik) untuk domain tertentu, diakui dan diwakili secara formal sebagai teori logik dalam sumber komputer. Intipati berkongsi semantik dalam konsep yang saling berkaitan diilhamkan oleh konsep perkongsian maklumat dalam pelbagai pendekatan.

Istilah ontologi berakar pada sejarah Yunani dan mempunyai sejarah panjang dalam falsafah yang merujuk kepada subjek alam atau kewujudan. Ia telah diterima pakai dalam berbagai bidang penyelidikan seperti falsafah (Smith, 2003), linguistik (Kerremans, Temmerman, & Tummers, 2003), logik (Baader, Horrocks, & Sattler, 2005), dan sains computer (Gruber, 1994; Guarino 1998; Fonseca & Martin, 2007). Dalam bidang sains komputer, minat komuniti penyelidik dapat dibahagikan kepada dua (2) disiplin ilmu: i) kumpulan Kecerdasan Buatan (AI) yang komited untuk membina pangkalan pengetahuan bersama; dan ii) kumpulan pangkalan data yang komited untuk membina skema data konseptual yang berasaskan model semantik. Kedua-dua disiplin ini menyumbang kepada pengembangan aplikasi sistem komputer dalam berbagai bidang seperti e-Dagang, Bio-Informatik, e-Pembelajaran, Reka bentuk pangkalan data, Kejuruteraan perisian, Akses dan pengambilan maklumat, dan Semantik web.

Aplikasi Al-Quran Berasaskan Tema (QURANOLOGY)

Aplikasi yang telah mendapat manafaat daripada teknologi ontology ini adalah carian kandungan Al-Quran yang berasaskan tema. Isi kandungan Al-Quran yang mengandungi 6236 ayat telah disusun mengikut tema-tema tertentu. Setiap tema pula mengandungi sub-sub tema yang lengkap menjelaskan tentang maksud ayat tersebut. Setiap ayat akan merujuk kepada tema-tema tertentu yang akan mempunyai jalinan hubungan tema yang pelbagai. Tambahan pula, setiap ayat akan mempunyai maklumat tambahan yang akan menjelaskan maksud ayat tersebut dengan lebih lanjut melalui asbabun nuzul (sebab musabab ayat diturunkan), hadis (yang berkaitan dengan ayat), tafsir (tentang ayat tersebut dari sumber tafsir at-Tabari dan Ibn-Kasir), Doa, Ilmu pengetahuan, dan video atau audio yang berkaitan dengan ayat tersebut. Susunan tema-tema ini dibuat dengan menggunakan ontologi, di mana setiap tema dan sub-tema (kelas dan subkelas) ditentukan hubunganya serta kaitannya dengan setiap maklumat tambahan. Hal ini akan menjadikan kandungan Al-Quran dapat dipelajari dengan mudah dan berkesan melalui capaian maklumat yang dibuat mengikut kemahuan pengguna (pelajar) pada bila-bila masa samada menerusi komputer desktop atau peranti mobil.
©2025 Quranology

Search